Penyanyi, Datin Alyah berkongsi bagaimana dia menamakan anak angkatnya yang kini berusia tiga bulan sebagai Nur Izzara.
Alyah atau sebenarnya Nor Hasliah Abu Hasan menceritakan bahawa nama Nur Izzara diambil daripada nama
sebuah restoran yang terletak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka.
“Saya tidak pernah berpengalaman dalam memberi nama kepada anak. Tetapi nama ini terpilih apabila saya singgah di R&R Ayer Keroh dan melihat sebuah restoran bernama Izzara di sana,” kata Alyah.
“Saya ingin letak nama Izara Aishah, tetapi risau orang keliru dengan pelakon Izara Aishah. Emak saya cadangkan letak ‘Nur’, jadilah Nur Izzara.”
Alyah berkongsi pengalaman tersebut semasa ditemui dalam sidang media program realiti Gimme The Mic di The Bee, Publika.
Dia juga mendedahkan perasaannya menjaga Nur Izzara, mengakui bahawa dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pengasuhan anak angkatnya yang baru.
“Untuk menjadi ibu, saya cuba menyesuaikan diri dengan pengalaman mengasuh adik-beradik saya sebelum ini. Tetapi pengalaman menjaga anak angkat ini jauh berbeza kerana saya perlu bersama Nur Izzara 24 jam,” ujar Alyah.
“Sebenarnya, saya tidak pernah merancang untuk mengambil anak angkat. Banyak yang ingin memberi anak kepada saya tetapi saya tidak mahu. Komitmen ini bukan seperti menjaga kucing. Walaupun, kita perlu menjaga kucing dengan teliti juga,” tambahnya.
“Selepas mendapat panggilan untuk menunaikan ibadah haji, saya menerima Izzara hanya dua hari selepas dia dilahirkan. Terdapat beberapa masalah yang tidak dapat saya nyatakan, mengapa ibu bapa biologi tidak dapat menjaga dia.”
“Ini adalah rezeki saya dan suami, Tok Ram dapat menjaga Nur Izzara.”
BACA: MBSA kalah saman RM50,000 dengan tempat pusat ‘urut kaki’ ini puncanya