Alifah tinggalkan kerjaya perakaunan jadi tukang kayu ini sebabnya

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Dalam hidup, tidak semua yang kita miliki akan bertahan selama-lamanya.

Hal ini dirasakan oleh seorang wanita dari Marang, Terengganu, yang memutuskan untuk meninggalkan kariernya dalam bidang perakaunan demi mengejar minatnya dalam pertukangan kayu.

Alifah Zakaria, 34, tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan berhenti kerja dan memulakan kerjaya sebagai tukang kayu.

Dia hanya mengambil masa enam bulan untuk mempelajari ilmu pertukangan melalui YouTube.

Menceritakan kepada Aura, Alifah mengatakan dia mendapat inspirasi dari abangnya yang telah lama berkecimpung dalam bidang pertukangan dan mampu membina rumah.

Alifah tinggalkan kerjaya perakaunan jadi tukang kayu ini sebabnya

Sebagai graduan Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dia pada mulanya bekerja sebagai pegawai perakaunan di sebuah syarikat kenderaan selepas mendapat ijazah pada tahun 2012.

Namun, setelah beberapa kali bertukar kerjaya, dia perlahan-lahan mempelajari ilmu pertukangan secara dalam talian.

“Hampir enam bulan selepas ‘menimba ilmu’ di laman sesawang, saya memulakan The Bangsal pada 2014 dengan menjadikan bangsal di tepi rumah sebagai tempat bertukang,” katanya.

Anak kelapan daripada sembilan beradik ini memulakan The Bangsal dengan membuat pelamin buatan sendiri berasaskan kayu pine untuk disewakan kepada pelanggan. Hasil sewaan pelamin digunakan sebagai modal untuk membeli mesin dan perkakas pertukangan.

The Bangsal menghasilkan produk berasaskan kayu pine mengikut trend terkini yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. Alifah berkongsi mengenai cabaran sepanjang lebih sedekad mengusahakan The Bangsal, termasuklah penerimaan masyarakat terhadap hasil kerjanya serta kualiti dan kreativitinya.

“Kebanyakan mereka merasakan harga ditetapkan terlalu tinggi, sedangkan bagi menghasilkan sesuatu produk memerlukan masa hampir seminggu. The Bangsal amat menitikberatkan soal kualiti barangan sebelum diserahkan kepada pelanggan,” katanya.

Antara produk yang dihasilkan adalah rak dinding, meja makan, kaunter bayaran dan kertas dinding, semuanya menggunakan kayu pine dari pembekal di Lembah Klang. The Bangsal juga menawarkan perkhidmatan mengubah suai dekorasi rumah, pejabat, dan kedai.

Alifah berencana untuk terus menghasilkan produk berasaskan kayu pine selagi permintaan masih ada. Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan untuk beralih kepada kayu berkualiti lebih tinggi seperti chengal, nyatoh, dan merbau di masa depan.

BACA: