“Alhamdulillah, saya sudah pun bernikah”, Fyna sah isteri Zainal Abidin. Penyanyi Fyna Jebat mengesahkan bernikah dengan bekas pengendali pasukan bola sepak Penang FC dan Melaka United, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Fyna atau nama sebenar, Nurshafyna Jebat, 29, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci pernikahannya itu.
“Alhamdulillah, saya sudah pun bernikah. Terima kasih banyak-banyak kepada anda yang memberi komen yang baik.
“Harap dapat doakan saya dan keluarga,” katanya ditemui selepas konsert mingguan program realiti terbitan TV3, Famili Duo yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi.
Sementara itu, kakak kepada Fyna yang juga penyanyi Ayda Jebat lega dengan keberanian adiknya mendedahkan status perkahwinan.
“Rasanya tidak ada apa lagi yang perlu diceritakan. Saya berbangga apabila adik bercerita perkara ini kepada semua orang.
“Terima kasih atas doa kepada kami,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan gosip Zainal Abidin bernikah dengan seorang wanita berusia 29 tahun apabila topik itu menjadi perbualan hangat dalam media sosial.
Beberapa portal dilaporkan memetik nama bekas pengendali Penang FC dan Melaka United itu melangsungkan perkahwinan dengan wanita terbabit yang dikatakan adik kepada Ayda, iaitu Fyna.
Arena Metro memetik sumber yang mengesahkan pasangan terbabit berkahwin, baru-baru ini, namun hanya diketahui individu dan ahli keluarga terdekat.
Mengikut rekod, Zainal Abidin berkahwin kali pertama pada 1980-an dan dikurniakan tiga anak.
Zainal Abidin cukup terkenal sebagai penyerang skuad kebangsaan era 1980-an dan 1990-an yang membantu Malaysia meraih pelbagai kejayaan.
BACA JUGA :
“Kami keluarga Syamsul tidak akan maafkan Kazar”
Rumah paling unik di dunia, dah 40 tahun duduk tengah roundabout
Baru je kecoh Syamsul buat Ira Kazar isteri nombor dua, ada pula yang ketiga?