‘Alasan kedai jual tak kena saman, pengguna kena saman tak boleh pakai’, JPJ rancang halang jualan alat ganti modifikasi motosikal

Oleh SURIANI HAMDAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Bagi membendung penjualan alat ganti melibatkan modifikasi motosikal menyalahi undang-undang.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Lokman Jamaan, berkata kerjasama itu juga merangkumi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

'Alasan kedai jual tak kena saman, pengguna kena saman tak boleh pakai', JPJ rancang halang jualan alat ganti modifikasi motosikal

Katanya, setiap motor atau kenderaan dipasar dan didaftarkan bagi kegunaan di atas jalan raya di negara ini wajib melalui prosedur pemeriksaan oleh Jawatankuasa Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi mengesahkan spesifikasi yang memenuhi standard antarabangsa.

“JPJ hanya berkuasa bagi penguatkuasaan undang-undang di atas jalan raya, namun penjualan alat ganti yang tidak disahkan oleh JPJ sebagaimana diluluskan dalam VTA itu adalah di bawah tanggungjawab PBT jadi, lesen premis mereka mestilah mengikut peraturan ditetapkan,” katanya menurut Bernama di Malim, Melaka malam tadi.

Dalam pada itu, Lokman berkata, JPJ telah mengesan dan menyita sebanyak 3,111 motosikal di seluruh negara sepanjang Operasi Khas Motosikal bermula 1 Sept hingga semalam.

Beliau berkata, semua kenderaan disita itu diklasifikasikan “tidak mematuhi piawaian keselamatan” bagi kegunaan di atas jalan raya.

“Tindakan ini juga bagi melengkapkan prosedur siasatan pelbagai kes kesalahan semasa dan rekod lampau pengendali motosikal seperti tiada insurans, tiada lesen memandu, ubah suai piawai keselamatan, dan sebagainya.

“JPJ tidak merampas motosikal tetapi menyita bagi tujuan menghentikan kesalahan berulang dan berisiko tinggi bagi mengelakkan perkara tidak diingini iaitu menjurus kepada kecederaan parah atau kemalangan maut,” katanya kepada pemberita di Malim, malam tadi.

Mengulas lanjut, Lokman berkata motosikal yang disita itu juga boleh dituntut pada bila-bila masa selepas dokumentasi dan kes kesalahan diselesaikan termasuk mempunyai perlindungan insurans sewajarnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan dalam operasi bagi tempoh hingga 30 Sept itu juga menggunakan pendekatan berkonsepkan pengauditan pematuhan selain mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang supaya sentiasa mengikut peraturan keselamatan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Sehingga kini juga, JPJ telah memeriksa sebanyak 140,544 motosikal dan hasil pemeriksaan audit pematuhan dalam tempoh operasi mulai 1 hingga 13 Sept, sejumlah 64,295 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 46% kesalahan dikesan iaitu membabitkan kegagalan mematuhi peraturan keselamatan jalan raya yang dilakukan oleh pengendali motosikal,” katanya.

Lokman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 24,459 kes melibatkan tiada perlindungan insurans, tiada atau tamat lesen memandu (19,928 kes), tidak mematuhi lampu isyarat merah (4,061 kes), ubah suai ekstrem (2,676 kes) dan membonceng motosikal di bawah umur sebanyak 259 kes.

BACA: “Kerana ‘kekurangan’ suami, senyap-senyap aku layan duda anak 1, aku tak sangka aku ‘terlayan’ lebih”