“Aku mangsa cinta suami orang, aku nekad buat report tapi saat jumpa isterinya aku terkedu, hidup-hidup aku ditipu”Aku kongsi untuk iktibar kita bersama.
Berpesan-pesan juga pada anak-anak dara kita okay. Ambil yang jernih, buang jauh yang keruh.
Kenapa tajuk aku “mangsa” cinta suami orang? Ya, mangsa. Sebab aku terjebak cinta suami orang kerana penipuan dia.
Aku namakan dia sebagai N (bukan nama sebenar), berusia awal 40-an bekerja sebagai kakitangan profesional di sebuah kementerian.
Detik permulaan aku kenal N sewaktu dia terlanggar kereta aku ketika nak reversed di parking. N bertanggungjawab penuh atas kerosakan kereta aku. Tak ada lah teruk mana. Kemek sikit je. N beriya ambil berat nak tolong repair.
Sejak dari itu, kami mula rapat. Bertukar cerita dan pendapat. Keserasian dari segi pemikiran buat kami makin mesra. Dari berkawan kami serius ke hubungan cinta.
Awal perkenalan aku ada bertanya tentang status dia. Dia kata masih bujang. Musykil usia dah masuk 40-an tak kan belum kahwin?
Ada kewangan dan kerjaya stabil, alasan apa yang buat dia tak kahwin lagi? N kata kecewa dengan cinta pertama. Dia serik untuk serius bercinta apatah lagi untuk kahwin. Dia akui pernah bercinta tapi tak kekal. Bertemu aku buat kan dia ingin peristerikan aku.
Aku tak mencurigai N kerana dia jujur bercerita segala tentang hal peribadi termasuk duduk mana, kerja di mana, asal mana. Malah dia tunjuk gambar family (mak ayah, adik beradik).
Dia berkongsi untuk kami lebih dekat dan saling kenal. N juga berkongsi dia datang dari broken family. Mak ayah berpisah semasa mereka adik beradik masih kecil. Mak lari kahwin dengan lelaki lain.
Ayah pula jarang balik rumah. Kadang sebulan sekali. Pernah sehingga 3 bulan tak balik. Tinggal mereka hanya 5 beradik sendirian di rumah. Dia sebagai anak sulung ketika itu berusia 11 tahun yang menjaga adik beradik kecil, semua umur rapat rapat.
Dia yang siapkan adik adik pergi sekolah. Dia juga siapkan makan. Jiran tetangga banyak bantu dan simpati dengan nasib mereka adik beradik.
Kisah N buat aku jatuh simpati dan kagum dengan kejayaan mereka adik beradik walaupun hidup sangat susah serba kekurangan. Semua ada kerjaya baik dalam bidang profesional. Ada doktor, lawyer, accountant, engineer dan lecturer.
Bagi aku, adik adik N berjaya adalah hasil didikan N. Bukan mak ayah. N sangat tegas pada adik adiknya. Mungkin rasa simpati dan empati ini sangat kuat pada N kerana aku juga ada kisah sendiri tentang kehidupan kanak kanak.
Aku kongsi pada N buat pertama kalinya. Aku tak pernah berkongsi apa yang aku lalui pada orang lain. Aku kongsi kerana kami ada ‘scar’ yang sama walau cerita berbeza.
Untuk menerima N sebagai kekasih sangat susah pada awalnya. Aku susah untuk percaya lelaki dan aku sendiri takut untuk ada rasa percaya itu. Tapi N beri keyakinan bahawa dia jujur. Kalau tidak, dia tidak akan kongsi kisah kehidupan kanak kanaknya pada aku.
Dia sangat sensitif untuk kongsi hal tersebut pada orang lain. N juga tidak menunjukkan tanda tanda pelik yang boleh buat aku curiga.
Kami boleh jumpa bila bila masa. Lunch, dinner, movie night sampai midnight, malah N berani bawa aku keluar berjalan di sekitar kawasan perumahannya. Dia juga tidak buat sentuhan ‘cinta’. Dia jaga perilaku ketika bersama aku.
Aku kaji semua ni sebelum benar benar terima cinta dia. Ye lah, orang kata kita boleh nampak kalau lelaki tu bujang atau suami orang dari segi perbuatan dan body language. Aku pernah kata, kalau dia suami orang aku tak teragak agak akan berundur.
Dipendekkan cerita, 6 bulan selepas bercinta N kantoi dah kahwin. Macam mana kantoi? Masa aku pergi outstation kebetulan hotel yang aku stay, jabatan dia ada buat seminar di hotel yang sama. Aku jumpa staff dia semasa breakfast.
Masa ambil dessert aku dan staff dia berdiri bersebelahan, aku tergerak hati nak bertanya, “Satu jabatan dengan encik N ke ni?” Dia mengiyakan dan tanya aku kenal encik N ke? Aku senyum angguk. Orangnye nampak jenis ramah dan kepochi sikit.
Kemudian laju dia kata, “You tahu tak dia baru dapat baby. Comel gila. I rasa macam nak picit picit cubit geram tengok pipi bambam budak kecik tu.”
Whattttttttttt???!!!! Aku jerit tapi hanya mampu dalam hati.
Aku cuma mampu dengar sampai part baby. Yang lain lain dah terlayang. Aku rasa nak pitam. Aku tak pasti kalau staff dia perasan perubahan air muka aku. Ah, lantak aku tak peduli!
Aku naik bilik terus call N. Aku buat video call. Aku nak tengok reaksi muka penipu yang terkantoi. Aku dah menggigil tahan marah. Rasa sebak sebu yang kuat cengkam dada.
Aku : Awak ada apa apa nak bagitahu saya?
N : Terdiam pelik. Sambil berkerut dia kata , ” Ermm.. takde apa. Kenapa ni?”
Aku ulang lagi soalan sama. N tergelak, tapi aku tahu dia sorok gelabah.
Aku : Awak sebenarnya dah kahwin kan. Siap baru dapat baby!! Apa semua ni hah??!!! Penipu!!
Air mata aku laju berderai. Aku marah mengamuk pada dia. Ini first time kemarahan aku meluap luap pada dia. N terkedu penipuan dia terbongkar. Aku minta dia bagi penjelasan. N diam dan terus matikan panggilan.
Disini bermula kebencian aku pada N. Benci kerana dia menipu aku. Keesokan hari dia call aku semula, merayu minta maaf. Dia terpaksa tipu sebab takut hilang aku.
Aku nangis dan marah dia. Kenapa dia buat aku macam ni? Dia ingat cinta aku untuk dipermainkan? Dia ingat perasaan aku pada dia cuma suka suka. Dia tahu aku sangat susah nak terima cinta dia dulu. Tapi kenapa sekarang hati aku dipermainkan.
Aku sangka kami ada persamaan dari segi “menjaga percaya”. Aku sangka parut dari orang tuanya dan luka cinta pertama buat dia tegar tak kahwin lagi. Seperti mana kerasnya hati aku tidak beri cinta pada manusia bernama lelaki.
Aku sangka kami sama. Tapi aku naif menilai masa silamnya. Terlalu naif. Bahasa mudahnye sangat bodoh.
N merayu lagi. Katanya, hubungan dengan isteri dah lama bermasalah. Aku tanya masalah apa sampai nak bercerrai? Alasan isteri terlalu komited dengan kerja sehingga dia rasa terabai. Kalau tidak berjumpa aku sekalipun, mereka akan bercerrai.
Seperti lelaki yang Lily (Aku yang kedua?) kasihi, N juga tidak burukkan isterinya. Hanya alasan isteri terlalu komited kerja sebagai punca nak cerrai. Memuji isteri baik tapi nak cerrai.
Apooooo…. Kalau dah tahu isteri baik, kenapa tak bincang bersama? Dia kata sudah bincang tapi tak capai persefahaman dalam hubungan.
Katanya sikap baik dan persefahaman antara satu sama lain dalam perhubungan adalah 2 benda berbeza. Ada benar apa dia kata. Kalau kedua duanya bersetuju cerrai secara damai, mungkin memang sampai situ jodoh mereka.
Aku kalah dengan pujuk rayu N. Bohonglah kalau hati aku hilang terus rasa sayang. Aku sayang N sesungguhnya. Mungkin sebab dia sangat memahami trauma yang aku rasa. Dia ada empati. Setiap apa yang aku fikir dan rasa, belum sempat aku cakap dia dah cakap dulu.
Dia tahu apa yang aku fikir. Dia faham kesedihan aku. Aku juga faham kesedihan dia. Aku tak pernah jumpa lelaki lain yang aku rasa sangt selesa untuk bercerita. Ada saja yang buat aku turn off, baik lelaki orang (kawan) mahupun bujang.
Tetapi N lain. Hmmm… cukup lah aku memuji N. N kata nak bercerrai jadi aku tunggu seperti apa yang dia janjikan. Jangan kata aku yang hasut dia bercerrai. Dia sendiri yang nak bercerrai. Ini rasional fakta daripada N.
Bulan ganti bulan, hampir setahun sudah. Tapi N masih mengelak bila ditanya pasal cerrai. N terkantoi lagi bila aku tahu anak dia bukan sorang tapi 4 orang.
Maksudnya mereka dah lama kahwin. Bukan seperti apa yang N cerita pada aku. Tak sudah sudah nak menipu. Kami kerap gaduh.
Dalam tempoh ni, jangan cakap aku tak jauhi diri dari N. Aku block nombor dia. Tapi dia cari aku guna nombor lain. Call non stop. Selagi tak pick up selagi tu akan call.
Aku block tapi dia guna nombor lain pulak. Dari satu nombor ke satu nombor dia call. Aku nak whatsapp orang lain pun susah.
N juga dah mula nak sentuh aku. Aku benci dengan setiap cubaan sentuhan dia. Aku fed up. Setiap kali dia cuba untuk sentuh setiap kali tu juga kami akan gaduh.
Sayang cinta aku padanya makin pudar. Bukan ini yang aku nak dalam cinta. Aku ingin rasa cinta yang dilindungi. Bukan dicemari.
Mana hilang segala empati dia pada aku dulu? Aku persoal semua ni pada dia. Aku nangis. Marah. Jerit. Semua cukup. Aku pernah nangis sehingga terperosok bawah dashboard kereta. Aku kecewa dengan N.
N cuma kata dia sayang aku, tak nak hilang aku. Aku minta kalau benar sayang, berubahlah. Sayang dan lindung aku dalam erti kata sebenar. N berubah. Bila kami keluar, aku yang selalu ingatkan dia untuk singgah solat. Dia tak pernah ajak aku untuk solat.
Malangnya perubahan dia sekejap saja. Kemudian balik semula dengan pe’el asal. Kadang aku terdetik, kalau kahwin aku kah yang perlu struggle bimbing dia untuk jalan agama? Aku sendiri perlukan bimbingan. Masih culas dengan solat. Masih lalai.
Sepanjang kami bercinta, aku tak pernah halang urusan N dan keluarganya. Bagi aku keutamaan adalah anak anak mereka. Kalau mereka berpisah sekalipun jangan sampai emosi anak anak terluka.
Aku banyak mengikuti perkembangan anak anak N. Malah aku selalu suruh N pulang awal, nanti anak tercari cari ayah lambat balik. Suami isteri bermasalah jangan sampai anak dapat tempias. N ada seorang anak OKU.
Dia selalu cerita tentang anak istimewa ini. Aku dengar dengan rasa kasih.
Aku selalu minta dia jaga anak istimewa ini sebaiknya. Jangan biar anak ini rasa kurang dari adik beradik lain. Dan didik anak yang lain sebaiknya supaya bila besar nanti nasib anak istimewa ini tak terabai jika mak ayah dah tiada.
Selalu aku bagi ceramah pada N. Bila aku start bebel ceramah, dia akan diam dengar. Pasal isteri dan anak. Kadang sampai aku bagi tips untuk pulihkan semula hubungan mereka suami isteri. Aku sayang N. Tapi sayang aku pada dia bukan untuk hancurkan apa yang dia ada.
Kalau rumahtangga boleh diselamatkan lagi, usahakanlah. Aku berundur seikhlas hati secara damai. N bertegas dah tiada apa yang boleh diselamatkan.
Yang buat aku geram, kalau betul dah tak boleh diselamatkan, lepaskan isteri dia baik baik dan biar isteri dia cari kebahagiaan baru. Masing masing bina hidup baru.
Berbalik soal cerrai antara dia dan isteri, kali ni N beralasan isteri sedang tunggu permohonan kuarters diluluskan. Isteri N seorang cikgu. Tunggu kuarters diluluskan baru akan proceed untuk cerrai. Aku dah mula curiga. Nak cerrai ke tak sebenarnya ni? Aku dah rasa geram.
Apa masalah yang susah sangat? Dia bukan tak ada rumah lain nak bagi isteri dia duduk. Ataupun dia je lah yang pindah keluar. Kenapa terlalu banyak alasan.
Setiap kali tanya, alasan permohonan kuarters belum lulus. Kali ni aku dah rasa penat sangat. Nampak dia masih cuba nak tipu aku. Aku dah sampai klimaks nekad tinggalkan N. Aku tak nak dengar apa alasan sekalipun.
Aku tak tahu kenapa N masih tak malu untuk rayu aku lagi. Dia cuba call aku guna nombor lain. Aku tak tahu macam mana dia tahu nombor baru aku. Hanya close friends and family saja yang tahu.
Aku tukar lagi nombor. Sehingga family bertanya kenapa aku asyik tukar nombor. Ada kawan berseloroh aku lari dari ahlong ke? Cis. Setiap nombor yang aku tukar N akan tahu. Pelik.
Setiap lelaki yang cuba untuk dekati aku, N akan cantas awal awal. Dia burukkan aku macam macam. Aku tak ambil peduli. Bagi aku jika ada yang nak percaya terpulang. Aku tak minta mereka untuk suka aku. Kadang aku rasa N mudahkan kerja aku untuk nyahkan laki yang datang.
Dan kalau aku sejahat dan seburuk seperti yang dijaja, kenapa N masih tak henti tagih cinta aku. Aku perempuan jahat so kenapa masih nak juga dengan si jahat ni? N buat jiwa aku mati nak terima cinta lelaki lain. Titik.
Sikap psiko N bukan setakat mengganggu dengan nombor nombor baru. Tapi dia juga datang cari aku. Merata di setiap tempat aku pergi, N akan muncul.
Sampai tempat kerja pun dia cari aku pagi pagi. Aku outstation di Jakarta pun tiba tiba dia muncul di sana. Kau rasa?? Tak stress ke aku dibuatnya. Stress giila!
Aku tak tahulah dia letak saka apa di badan aku sampai setiap tempat yang aku pergi dia tahu. Atau mungkin dia letak cip dalam badan aku ke? Entahlah. Aku serabut.
Weekend aku lebih selesa duduk di rumah. Kadang dia ajak keluar. Kalau aku tak ikut kemahuan, dia akan datang sampai depan rumah ketuk pintu rumah.
Giila. Aku penat. Sumpah penat. Penat dengan rayuan N. Aku tak nak jadi penghancur rumah tangga orang. Aku takut karma tampar rumah tangga aku pula nanti.
Sampai satu masa ketika aku outstation di Manila, N whatsapp aku. Dia nak call. Dia perlukan aku untuk dengar masalah dia. Selama ni dia boleh setia dengar masalah aku, jadi dia berharap aku dapat dengar untuk tenangkan dia.
Aku malas nak layan tapi bila aku fikir semula dia juga pernah berbudi pada aku. Mungkin dia memang betul betul dalam kesusahan.
Aku jawab juga akhirnya. N bagitahu dia baru lepas lafaz cerrai dengan isteri. Dia ada diluar mahkamah masa call aku. Dia nangis nangis cerita. Sedih tak ada tempat nak luah. Dia perlukan aku.
Aku sangsi. Aku rasa ni cuma MO dia nak buat aku percaya semula. Aku tanya lagi macam mana lafaz.
Dia cerita detail. Mereka nangis bermaafan dulu dan peluk satu sama lain. Kemudian, dia lafaz depan hakim. Isteri balik dengan kereta lain. Cara N cerita memang sangat meyakinkan. Dengan esak tangis. Sayu hati aku dengar (kebodohan perasaan sekali lagi).
N merayu untuk balik semula pada aku. Sekarang dia dah bercerrai. Dia dah buktikan pada aku. Ceh, cakap buktikan macam aku pula yang paksa cerrai.
Aku serba salah nak terima N semula. Sisa sayang masih ada tapi aku rasa tak mampu nak percayakan dia lagi. Aku selalu berdoa pada Allah minta bagi aku petunjuk.
Aku tak pernah putus doa dari dulu lagi. Aku nangis dalam doa. Aku tak larat dah. Aku minta Allah jauhkan aku dari N. Aku tak ada daya kudrat untuk menentang N.
Aku bimbang kalau aku berkeras, lagi keras N akan buat sesuatu pada aku. Tak masal kena rgol atau dibnuh. Eee ngerii. Jika N sememangnya adalah jodoh aku, aku terima ketentuan jodoh ini yang juga adalah ujian bagi aku.
Aku dah berusaha bermacam cara untuk jauhkan diri dari N, tapi kenapa N masih semakin cuba dekati aku lagi. Kadang aku macam nak mental hadap semua ni. Kenapa Ya Allah…
Satu hari aku ternampak whatsapp N dengan bekas isterinya menyebut nama H. Aku tanya siapa H. N kata anak buah dia.
Aku pelik kenapa pangkal nama sama dengan nama anak anak dia yang lain. Dia kata tak ada yang pelik. Dan dia macam tak suka aku persoal pasal nama.
Aku jadi sangsi dengan status dia. Aku tanya lagi sungguh ke ni dah bercerrai? Dia sungguh mengiyakan. Aku minta dia lafaz ‘saya dah cerraikan isteri saya’. Dia lafaz tanpa teragak agak.
Hmm.. aku cuba yakinkan diri semula. Kalau tak sungguh cerrai, tak kan dia berani lafaz. Tak mungkin N sejahil itu.
N berusaha untuk kembalikan keyakinan aku padanya. Hantar bunga di ofis hampir setiap hari. Dah boleh buka kedai bunga. Setiap hari dia datang jumpa aku memujuk.
N kata dia serius, lepas eddah dia akan datang masuk meminang. Aku nampak kali ni N bersungguh, walaupun aku sendiri tak berapa nak yakin.
Aku terima N semula. Kalau ini yang Allah tentukan untuk aku, aku terima je la. Aku seolah tiada pilihan untuk ubah.
N ada plan nak usahakan sebuah company. Masa ni aku tak tahu dia sebagai kakitangan kerajaan tak boleh simply set up company. Aku tau pun lepas rujuk perkara ni pada sorang lawyer. Sebelum hal hal lawyer ni berlaku, N minta aku support dia bahagian pengurusan.
Aku terima small project dulu dari dia baru pertimbangkan untuk resign. Tak lama lepas tu aku resign. N minta aku teman untuk site visit.
Aku okay atas dasar kerja. Aku juga ada ingatkan dia, semua ni atas dasar kerja. Jangan cuba nak macam macam dengan aku. Aku warning siap siap.
Dalam masa yang sama, aku tanya lagi tentang meminang. Dah berbulan dia bercerrai. Hal meminang terus senyap. Sekali lagi dia beralasan minta tempoh. Mak dia tak nak tipu parents aku tentang status N yang baru menduda.
Mak dia juga tak nak tipu tok sedara yang akan jadi wakil meminang dengan mengatakan N dah lama menduda. Bagi aku alasan ni sangat nonsense. Aku bagi kata dua pada N. Lepas site visit aku nak N bincang semula dengan mak dia. N diam macam dilema.
Masa site visit, aku datang nak terus fokus kerja. Tapi aku nampak N cuba melengahkan dan alih fokus aku. Aku tegas kata aku nak terus buat kerja dan boleh cepat balik.
N kata nanti nanti boleh buat. Aku dah mula rasa tak sedap hati. N bertukar agresif secara tiba tiba bila aku tetap tegas kata nak fokus kerja. Dia tarik aku kasar ke satu sudut. Aku terkejut. Dia menolak dan cuba tindih badan aku. Aku tepis dan sekuatnya cuba tolak N.
Tapi apa daya aku sebagai perempuan. Aku jerit suruh dia lepaskan aku. N tak peduli. Dia cuba tarik seluar aku. Aku nangis jerit melawan. Terbayang benda yang pernah jadi pada aku masa kecil.
Aku takut. Takut yang teramat datang menerpa. Dalam tangisan air mata, aku cuba kumpul tenaga dan sekuat hati aku menjerit!! LEPASKAN AKU!!!!!! Barulah N lepaskan aku. Kasar.
Aku terus bangun terduduk meringkuk di sudut. Aku nangis macam orang giila. Dada aku rasa sesak tak boleh bernafas. Bibir aku menggeletar. Seluruh tubuh aku menggeletar.
Benda yang aku takut N buat juga akhirnya. Aku takut. Aku peluk tubuh seeratnya. Aku tepuk dada sekuat hati.
First time aku rasa seteruk ni. Nafas aku seperti tersekat. Aku nangis mengongoi panggil mak aku. Persis budak kecik aku memanggil “Mama, ezah takut ma. Mama mamaa…” (Menggeletar jari aku taip semua ni. Dada aku sebak tahan sebu teringat semula. Berderai semula air mata aku.)
Aku dah macam nak separuh giila. Aku benci N sebencinya. Aku tak nampak N. Dia hilang keluar. Tak lama dia masuk dan halau aku keluar suruh balik. Dalam keadaan aku tengah teruk macam tu N halau aku. Bengis dia seperti binatang.
Aku balik rumah dengan air mata yang tak berhenti sepanjang jalan. Steering aku pegang lemah. Tak terasa pedal minyak aku tekan. Sampai rumah aku terus terpa katil. Menangis lagi.
Seminggu aku terbaring nangis longlai. Sampai hati N buat aku macam ini. Apa dosa aku pada dia sampai dia sanggup perlakukan aku macam ini.
Semangat aku hilang. Adakala aku akan jerit seperti ada satu kesakitan yang tersangkut di dada. Perit sangat dada. Aku tepuk dada sekuatnya supaya kesakitan hilang. Tapi tak hilang.
Bila bayang bayang perbuatan N muncul bercampur aduk dengan masa silam, buat dada aku makin sesak tak bernafas.
Aku usaha lawan sakit sendiri. Tidur makan aku berterabur. Mandi tak, makan tak. Aku menyewa seorang. Jadi tak ada kawan yang tahu tentang keadaan aku.
Satu hari aku betul betul dah tak larat nak menangis dan rasa sakit. Aku tak boleh tidur. Tiap kali aku tutup mata aku rasa N datang tindih aku kasar. Dan setiap kali itu juga aku tak dapat tahan emosi yang datang menjerit. Aku sampai dah tak ada suara nak nangis.
Aku takut dengan bayang bayang yang muncul dalam memori. Aku benci kebengisan N. Aku google cari nombor yang aku boleh dail. Aku perlukan bantuan untuk heal apa yang aku rasa. Aku tak nak kongsi dengan kawan. Aku sedih. Aku malu. Aku benci dengan semua.
Aku call nombor talian trauma. Aku tak ingat spesifik nama centre. Lemah suara aku. Sangat lemah. Menggeletar suara aku bercakap. Aku kata pada orang tu, “Saya nak dapatkan nasihat untuk hilangkan trauma yang saya rasa. Boleh saya tahu prosedur?”
Suara orang yang menyambut panggilan macam takut takut. Entahlah. Mungkin terkejut dengar suara aku yang terlalu lemah. Bila dia bagitahu prosedur and fees aku kata tak apa la. Mahal. Aku dah tak kerja sekarang. Simpanan yang ada aku tak boleh boros.
Keadaan aku begitu sampai sebulan. Sebulan aku meratap terduduk dalam esak tangis. Terperuk sorang sorang dalam rumah.
Akhirnya aku dapat secebis kekuatan. Aku paksa diri untuk keluar. Aku nekad buat police report. Aku macam tak yakin sama ada report aku boleh diterima atau tak.
Dah sebulan. Tapi aku nak cuba. Aku kena cari kekuatan untuk pulih. Kalau ini cara untuk bagi pengajaran pada N, dan aku boleh hilang trauma dan hidup seperti biasa, aku akan cuba fight dengan sisa kekuatan yang ada.
Gangguan terdahulu aku pernah cuba untuk buat police report, tapi tak jadi buat. Aku terbayang wajah anak anak N. Sayu hati aku bila teringat.
Macam mana nasib anak anak dia kalau N dikenakan tindakan tatatertib atau ditahan polis. Hati aku jadi berbelah bahagi bila teringat anak anak N yang masih kecil. Tapi N sangat sombong. Sedikit dia tidak rasa bersalah dengan perbuatan dia pada aku.
Hilang seluruh cinta yang dia tagih pada aku dulu. Malah dia kata police report tidak akan berpihak pada aku.
Aku nekad untuk bagi N pengajaran. Bertahun dia rayu cinta aku. Bertahun dia siksa mental aku dengan perangai psiko dia. Lebih 5 tahun dia buat aku macam ni. Bukan berbulan. Ini klimaks aniaya yang dia buat pada aku.
Masa di balai, aku nampak ramai polis laki di luar. Salah sorang bertanya aku nak apa. Aku nak buat report. Masa aku nak bagi laporan, aku tak boleh tahan sebak. Polis minta aku nyatakan secara terperinci dalam laporan apa yang N buat pada aku.
Aku tak boleh nak ucap dengan kata kata. Benda tu terbayang. Air mata aku jatuh. Bibir aku menggeletar. Suara tak keluar. Dada aku jadi sesak semula.
Aku tak dapat kawal diri. Air mata aku makin deras. Polis yang tulis laporan minta bantuan dari sorang polis lain untuk tenangkan aku diluar. Aku meluru ke luar. Terduduk melutut peluk tubuh di sudut dinding. Menangis lagi.
Polis tanya kenapa nangis. Dia tanya dengan suara garang. Karakter seorang polis.
Lagi aku tak boleh stop nangis. Aku jadi takut tengok ramai lelaki kat luar. Aku takut sangat sangat. Seorang polis perempuan muncul. Aku dipanggil ke dalam. Aku ditenangkan olehnya.
Dia kata kalau aku tak tenang macam mana aku nak buat report. Aku tak boleh buat report dalam keadaan emosi tak terkawal.
Kes tidak akan berpihak pada aku dalam keadaan aku macam ini. Sepatutnya aku ada teman semasa buat report. Tapi aku geleng. Enggan libatkan orang lain.
Lepas buat report, dia ada usulkan aku jumpa lawyer di Putrajaya. Aku baru tahu wujud badan guaman kerajaan yang memberi khidmat bayaran rendah pada marhaen untuk kes tertentu.
Dipendekkan cerita, rentetan dari buat report buat aku berani kan diri menjejak kaki ke rumah bekas isteri N. Bukan nak cari gaduh atau berperang.
Tapi ada benda yang aku belum settle dengan N. Aku tak kuat nak pandang N sebenarnya lepas apa yang dia buat pada aku. Tapi kalau aku tak kuat, siapa lagi yang akan fight untuk diri aku. N tahu aku nak datang rumah bekas isterinya.
Dia kata dia tak takut dan kalau aku nak datang silakan. Sungguh yakin dia. Dia ingat aku tak berani datang.
Ya, aku datang jejak kaki ke kuarters. Selama ini bukan aku tak tahu mana bekas isteri dia duduk. Cuma bagi aku tak ada sebab aku nak terjah orang yang tak ada masalah dengan aku. Tapi kali ni aku terjah.
Aku tiba di kuarters lepas habis sesi sekolah. Bekas isteri dia sambut baik kedatangan aku, walaupun pelik tiba tiba muncul seorang perempuan perkenalkan diri mengenali N.
Aku mohon izin untuk bercakap dalam rumah. Aku tak nak cikgu cikgu sekolah bergosip terdengar perbualan kami.
Masuk sahaja dalam rumah, aku nampak ada seorang anak kecil usia kurang setahun dan anak anak lain. Hati aku berdebar. Usia si kecil nampak kurang dari tempoh pencerraian mereka. Aku berfikir sesuatu. N dah rujuk kah?
Aku tanya sama ada dia dan N dah bercerrai? Bekas isteri dia menafikan. TAK PERNAH cerrai walau sekali.
Lebih 5 tahun N momokkan aku dengan cerita cerrai. Tapi rupanya mereka tidak pernah cerrai.
Berderau drah aku dengar. Tergamam. Bibir menggeletar tak tahu nak sambung cakap apa. Aku tengok anak anak N lari lincah depan mata. Air mata aku jatuh.
Isteri dia tanya datang kenapa, N ada buat apa? Kami dah kahwin ke? Bertubi soalan dia tanya dengan nada lembut. Aku nafikan tentang kahwin.
Langsung tiada kata kesat atau marah keluar dari mulut isteri N. Lembut tutur katanya. Kenapalah kau siakan isteri sebaik ni N. Aku sendiri tak mampu jadi selembut isteri dia.
Aku kata ada anak anak depan mata yang perhati perbualan kami. Aku rasa tak sedap nak bercakap. Air mata yang jatuh aku bendung sedaya upaya supaya tak deras mengikut emosi.
Walaupun masih kanak kanak, aku percaya mereka dah mula faham. Mereka perhati dan akan absorb semua memori.
Aku nampak anak perempuan N. Satu satunya anak perempuan yang dia ada. Selama ni aku cuma dengar cerita pasal mereka. Hari ini aku lihat mereka sendiri depan mata. Aku marah dengan perbuatan N. Tapi aku masih waras. Aku tak nak kacau emosi anak anak N.
Isteri N kemudian minta anak perempuannya bawak adik adik keluar main di taman. Dari perbualan, aku tahu isteri N baik orangnya.
Namun ada beberapa perkara yang aku sedikit kecewa. Dia tahu rupanya suami berskandal di luar. Dia tahu suami balik lewat jumpa perempuan di luar.
Dia tahu tapi dia kata tak boleh nak buat apa apa. Dia cuma mampu doa. Tidak hairanlah gaya hidup N seperti orang bujang. Orang rumah sendiri seolah ‘merelakan’ N keluar masuk rumah seperti hotel.
Dia dah pernah usulkan untuk berpisah tapi N yang tak nak. Ahh.. sudah. Aku pening. Serabut.
N kata dua dua dah setuju bercerrai. Dan mereka dah bercerrai di mahkamah. Tiber hari ni pula aku dengar tak pernah cerrai. Aku kata N sendiri lafaz depan aku “saya dah cerraikan isteri saya”.
Bukan sekali tapi berkali. Aku tengok anak kecil N. Entahlah. Tak tahu status anak itu macam mana. Aku jahil tapi bab cerrai ni aku tahu bukan benda suka suka boleh sebut.
Isteri dia berkali kali kata tak tahu menahu. Aku dengar keluhan isterinya juga. Bercerita sedikit tentang background N dari broken family.
Isteri N tanya apa yang N dah buat pada aku. Aku cerita apa yang N buat. Aku nak isteri dia tahu betapa syaiitonirrojim si suami. Aku tak boleh tahan esak air mata.
Kawal lah juga. Aku malas nak berdrama depan isteri N. Aku memandang isteri N mulia, tetapi dia memandangku hina dengan soalan “Boleh ke bakal suami aku terima keadaan aku nanti bila kahwin?”. Entahlah. Aku tak tahu nak jawab apa.
Aku tiada rasa untuk kahwin. Terpulanglah wahai isteri jika rasa aku ini hina. Dia minta aku bertaubat.
Aku tak tahu nak tergelak ke macam mana. Cara dia minta aku bertaubat seolah aku sendiri yang menyerah diri diratah N. Ini cuma suara hati aku. Sedikit geram. Tapi aku cuba memahami mungkin dia ikhlas nasihati.
Nasihat dia tentang taubat aku terima. Aku tahu banyak dosa aku. Aku datang bukan minta sokongan isteri N. Jauh sekali. Perbualan kami terhenti bila anak anak balik lepas main di taman. Bagi aku cukup memadailah.
Tak semua perlu dia tahu. Dia isteri, seharusnya dia lebih masak dan kenal perangai suami yang kaki perempuan. Sebelum balik aku minta maaf pada isteri N. Aku salam dan cium tangan dia.
Aku nangis minta maaf sebab selama ini aku dah jadi pengganggu rumahtangga dia. Sungguh aku tak ada niat.
Sebelum ini (masa aku nekad tingglkan N) aku pernah minta N sampaikan salam maaf aku pada isterinya. Tapi mana mungkin N sampaikan. Aku ambil kesempatan pertemuan ini untuk minta maaf padanya. Aku malu.
Aku minta izin isteri untuk tunggu N di luar rumah. Aku tak nak mengganggu isteri N dan anak anak terlalu lama dalam rumah. Aku nak kami bertemu 6 mata. N balik tak lama lepas tu. Aku tunggu dia dalam kereta. N mengetuk tingkap kereta aku kuat dan kasar.
Aku tahu dia sangat marah nampak aku ada di rumahnya. Aku tak turunkan tingkap. Bimbang N bertindak ganas.
Aku nampak anak istimewa dia melihat kemarahan dan kekasaran N melalui tingkap rumah. Aku hint pada N. Anak tengah tengok. Tak baik tunjuk kasar depan anak.
N berhenti mengetuk tingkap. Dengan kemarahan, dia memandu keluar dari situ. N menuduh kedatangan aku punca isterinya menuntut cerrai. Aku gelak. Eh, bukan ke memang dah bercerrai? Kenapa pula nak marah aku punca isteri ajak cerrai.
Dipendekkan cerita, mereka tak bercerrai. Sampai kisah ini dikongsi mereka masih suami isteri. Perihal lafaz cerrai yang N pernah ucap, aku pernah suruh dia rujuk hal itu pada pejabat agama. Bukan sekali dia ucap ayat itu pada aku. Tapi N tak endahkan.
Bagi aku penting untuk dia rujuk bertanya dengan yang lebih arif. Jangan buat main benda ini. Ini soal keturunan. Soal hubungan bersama suami isteri. Kasihan isteri dia.
Police report aku tarik semula. Bukan sebab isteri N. Dia tak tahu tentang report yang aku buat. Aku tak mampu teruskan. Aku tahu benda ni akan bagi kesan buruk pada karier N. IO sendiri kata ini kes berat. N boleh dikenakan tindakan tatatertib. Aku diam, tunduk berfikir.
Lama IO tunggu sama ada aku nak teruskan atau tidak. Untuk kesekian kali, aku kalah lagi. Menitik air mata aku kenangkan nasib.
Aku mengalah demi masa depan anak anak N. Aku pandang IO. Aku kata pada dia, aku tak mampu. Aku tak mampu hukum N dengan hukum dunia.
Aku hanya boleh berdoa dan berharap Allah bagi pengajaran terbaik dalam hidup N dengan apa yang dia dah buat pada aku. Air mata aku bergenang sarat di kelopak. Terasa kabur pandangan. Rasa sakit sangat perasaan ni bila ucap semua ayat ni pada IO.
Aku kalah.
Aku nampak mata IO tu berkaca. Tapi masih kekal tenang dan profesional. Entahlah. Dia perempuan. Aku juga perempuan. Hanya perempuan yang boleh faham apa yang perempuan rasa. Untuk report hanya sebagai simpanan untuk elak gangguan semula dari N.
Keluar dari balai, aku duduk di kerusi yang tersedia depan pintu. Kaki aku tak mampu berdiri jalan. Tak mampu tahan sebu yang terbuku.
Air mata yang aku tahan tahan masa depan IO, aku hamburkan di luar. Aku nangis. Aku nangis semahunya. Persoal diri betulkah apa yang aku buat?
Kenapa aku tak boleh berkeras teruskan report? Dalam tangis aku menggeleng kepala berkali. Aku tak sanggup jadi punca hidup anak-anak itu terkesan.
Aku tunduk takup mata dan nangis lagi. Rasa bodoh lagi diri ini. Sampai saat ini aku masih tak mampu nak protect diri sendiri.
Suasana sunyi seperti membenarkan aku dengan kesedihan sendiri. Tak ada polis yang lalu lalang keluar masuk. Ada seorang wanita tiba muncul disisi. Tidak tahu datang dari mana. Dia duduk sebelah hulur tisu. Dia usap bahu aku. Dia kata sabarlah, everything will be okay.
Aku tak mampu nak cakap apa apa. Suara aku serak. Aku pandang dia, hati aku merintih tolong. Tapi apa guna. Kalau sendiri pun tak boleh tolong diri, jangan harap orang lain tolong kita. Aku cuma mampu pandang sekejap dan tunduk semula.
Aku nangis nangis dan nangis. First time juga aku nangis teruk begitu di kawasan public. Kemudian aku dengar dia seperti sedikit teresak mengesat air mata. Teman aku nangis mungkin.
****
Dah 4 tahun semua ini berlaku. Trauma aku belum pulih sepenuhnya. Adakala benda benda tu datang muncul merenjatkan tidur. Aku jadi meringkuk menahan tangis. Dada aku masih terasa sesak sekali sekala. Sakit sangat. Rasa ketat mencengkam dada.
Aku anti cerita melayu. Aku tak tengok drama air mata melayu. Aku skip news pasal rgol. Ini saja cara untuk aku kawal diri.
Aku bukan malaikat. Aku cuma manusia biasa. Yang masih ada rasa marah dan benci pada N. Aku harap N akan dapat balasan melalui satu satunya anak perempuan dia. Dia akan melihat setiap balasan dosa aniaya yang dia buat pada aku melalui anak perempuan dia.
Aku pernah kata ini pada N. Dia marah seolah aku menyumpah dia. Simple aku balas, kalau kau rasa apa yang kau buat pada aku bukan penganiayaan, usah kau takut. Dia mengetap gigi menahan marah.
Jika ini dia rasakan sebagai satu sumpahan, terserah. Sumpahan ini akan terhapus jika dia benar benar berubah tidak lagi menyakiti perempuan.
Tapi N masih sama. Masih belum berubah. Masih bermain cinta perempuan. Masih licik dan lelaki yang penuh helah. Dia lupa bahawa dia ada anak. Satu masa nanti kau akan jumpa ruas juga N.
Maaf.
Mungkin kalian menganggap aku pendendam dan kejam sebab berdoa yang bukan bukan. Aku hanya manusia biasa yang hatinya tersakiti hidupnya terluka. Terlalu dalam.
N menambah lagi trauma yang menyakitkan dalam hidup aku.
Mungkin akan ada yang mengecam, kata sayang pada anak anak N tapi kenapa mengharapkan berlaku tak baik pada anak hanya kerana perbuatan N. Aku hanya tak mampu melalui ‘tangan’ sendiri tapi aku serah pada kuasa Allah untuk tentukan nasib N.
Antara doa yang dimakbulkan itu adalah doa orang teraniaya bukan? Aku hanya nak pengajaran terbaik untuk N. Bagi aku pengajaran terbaik adalah melalui anak dia. Apa yang N buat pada aku terlalu kejam dan sakit. Disini aku hanya kongsi 0.1% dari apa yang dia buat pada aku.
Hidup dalam benci dan dendam sebenarnya tak best. Doakanlah aku dapat lupakan dendam sakit ini. Aku masih belum terima segala perbuatan N.
Ada cinta yang cuba mendekat tapi aku tolak. Ada lelaki yang masih setia tunggu jawapan aku. Dia adalah antara lelaki yang N pernah cuba cantas dulu. Tapi masih setia untuk percaya aku. Aku belum ready. Cinta laki durjana yang buat hidup aku pincang lumat teruk.
Ingat mudah untuk aku terima semula cinta datang dalam hidup? Sukar. Atau mungkin juga tidak akan. Jangan salah anggap beranggapan aku ramai peminat. Tidak sama sekali. Tiada apa yang istimewa pada aku untuk disayang dipuja lelaki.
Biar aku sendiri begini. Aku tenang dengan kehidupan mengajar kanak kanak kampung. Walaupun hidup tak semewah dulu, tapi aku tenang membawa diri di bumi padi.
******
1. Curang itu pilihan. Curang itu kehendak. Maka balasan itu juga pilihan dan kehendak yang kau mahu.
2. MO suami orang untuk pancing cinta hampir semua sama. Penuh helah dan penipuan. Licik dan psiko.
3. Buat isteri yang dicurangi, bukan semua perempuan kedua itu sengaja jadi yang ketiga antara kalian suami isteri. Mungkin kamu tidak tahu betapa licik dan jahatnya suami kamu menganiaya perempuan lain di luar sana.
4. Buat wanita yang dikaburi dengan helah cinta suami orang, jangan mudah terpedaya. Once kau tau dia suami orang terus back off. Keraskan hati. Kalau ada gangguan, terus buat police report.
Dulu aku fikir polis malas nak layan report gangguan pasangan bercinta. Tapi aku silap. Polis wanita yang aku jumpa kata, ada gangguan terus buat report.
5. Buat report kepada HR/ majikan suami orang itu. Sertakan bukti police report yang kita dah buat.
6. Percaya dengan naluri. Kalau hati berkata ada something wrong pada lelaki tersebut, itu bukan andaian atau overthinking. Itu adalah gerak hati dan jawapan.
7. Kelemahan suami orang adalah isteri, anak anak dan kerjaya. Gunakan ketiga tiga ini untuk ‘tampar’ dia.
8. Jangan jadi perempuan lemah seperti aku. Perempuan yang terperangkap dengan masa silam kanak kanak sehingga tak mampu untuk pertahankan diri.
9. Aku minta maaf kalau luahan aku trigger trauma bagi kalian yang ada trauma sama. Bukan niat. Cuma untuk kongsi supaya jadi iktibar bersama
BACA:
Dulu ‘Melayu Malas’, bila tiada kuasa mahu anjur ‘Proklamasi Melayu’
Pelabur lari, agensi kerajaan negeri Kedah berhadapan hutang puluh juta