“Aku Jatuh terduduk bila tahu perkara sebenar, patutlah bekas isteri tolak lamaran aku”

Oleh SURIANI HAMDAN

Seorang lelaki langsung tidak menyangka bahawa bekas isteri sendiri sanggup menolak lamarannya untuk kembali sebagai sebuah keluarga yang bahagia.

Padahal, wanita yang bernama Sab itu begitu bersungguh-sungguh mengajak bekas suaminya untuk kembali rujuk ketika masih berada di dalam tempoh eddah.

Menyangka Sab sudah ada pengganti, bapa kepada seorang anak itu merasa amat terpukul apabila mengetahui punca sebenar mengapa wanita itu lebih rela menjanda.

“Aku Jatuh terduduk bila tahu perkara sebenar, patutlah bekas isteri tolak lamaran aku”

Berikut kami kongsikan pengalaman seorang lelaki yang baru mengenal erti penyesalan selepas hidup berasingan bersama insan bergelar isteri.

“Selepas bercerai, Sab berpindah ke rumah baru yang jaraknya 50 km dari tempat aku. Memang nak bagi dia dan anak duduk dekat apartment yang kami duduk masa berkahwin tapi dia tak mahu. Katanya lebih senang jika dia yang pindah, nak cari rumah sewa dekat dengan pejabat. Selamatlah berpindah dua beranak itu.

“Syukur dekat sahaja, jadi aku boleh melawat anak bila-bila masa sahaja. Sab sewa rumah teres tiga bilik landed. Ada ruang untuk anak aku kayuh basikal, dan ruang untuk Sab bercucuk tanam. Masa bercerai, anak umur dua tahun, memang masa nak melasaklah. Lepas berpisah, aku nampak sisi isteri yang tak pernah aku perasan selama ini.

“Sab suka beramah mesra dengan jiran-jiran dan suka menanam. Setiap kali aku datang, Sab akan masak sedap-sedap. Lepas itu, dia akan cerita yang masak lemak ini guna daun kunyit yang dipetik dekat laman. Cili pula extra pedas sebab tanam sendiri.

“Dia siap buat ruang ala-ala montessori untuk anak sepahkan dan main sampai puas. Aku gembira tengok mereka bahagia. Perkembangan anak aku pun laju dari kawan-kawan dia. Umur tiga tahun dan pandai membaca, boleh cakap thank you, sorry, ambil air dan snek sendiri. Sebab isteri aku sediakan tempat macam stesen kecil untuk latih anak. Umur tiga tahun dah tak pakai lampin, tidur bilik sendiri.

“Makin lama aku rasa bahagia dan nak balik semula dengan isteri. Biar kami hidup bersama semula. Aku rasa, sudah pasti dia nak rujuk semula. Aku flashback sekejap. Dulu aku lafazkan talak sebab tak tahan dengan keadaan rumah tak terurus. Isteri sibuk kerja dan anak aku yang selalu melalak dan baling makanan merata-rata.

“Bila aku suruh isteri kawal perangai anak, alasan dia biarkanlah sebab itu cara budak belajar. Dia janji akan kemas. Tetapi sekadar cakap sahaja sebab isteri akan tertidur sekali masa anak menyusu badan. Aku juga yang kena mengemas. Sampai satu hari aku rasa memang dah tak boleh tahan dan lafazkan cerai.

“Sepanjang tempoh eddah dia bersungguh ajak aku rujuk. Kalau tengok cara baik dia layan aku masa jenguk anak, memang kamu semua mesti ada perasaan yang sama. Iaitu keyakinan bahawa Sab akan terima lamaran untuk berbaik semula. Tetapi dia tolak lamaran aku serta merta.

“Siap kena gelak. Ayat dia aku ingat lagi, ‘kau gilaa? Haha ini lawak antarabangsa!’. Begitu jawapan dia dekat aku. Memang terkedu. Masa itu aku memang malu gila. Terus ajak adik balik (kalau tengok anak memang aku ajak adik perempuan aku sekali). Sab panggil pun aku tak peduli sebab dah malu sangat.

“Adik contact Sab tanya apa yang jadi. Adik aku pun mengambil langkah membasuh aku. Dia soal kenapa nak balik dengan Sab. Aku cakap aku akan lebih bahagia kalau Sab dan anak kami ada dengan aku. Dia tanya aku lagi, ‘habis Sab bahagia ke bila dengan kau, bang?’.

“Bagi aku soalan itu mengarut. Mestilah dia bahagia. Kalau tak, kenapa dia merayu nak rujuk dulu. Adik aku tanya lepas dah habis eddah, ‘ada tak dia ajak kau kahwin balik bang? Ada ke kau nampak dia tak bahagia?’. Aku macam blur. Masa aku bantu Sab pindah rumah sewa, mata dia memang lebam sedih. Jadi aku tau memang dia nak balik pada aku.

“Adik aku cakap, ‘kalau kau ini bukan abang aku, memang dah lama aku tampar kau. Lelaki selfish. Kau nak tau kenapa aku dengan mak tak pernah halang kau bercerai? Sebab kami nampak betapa penatnya Sab masa jadi bini kau. Anak, kau biarkan dia jaga seorang. Rumah pun kau beli dekat dengan tempat kerja kau, kau biar dia drive jauh dengan tol mahal.

“Bila balik lewat sebab sangkut jem, kau bengang dia tak sempat masak. Balik dah penat. Selama dia jadi bini kau, berapa kali Sab makan benda yang dia suka. Semua ikut kepala kau bang. Mainan anak pun kau tak bagi beli sebab takut sepah. Anak nak berkolam pun tak boleh. Banyak sangat undang-undang kau. Kau nak rujuk dengan dia pun kau fikir kebahagiaan kau. Kebahagiaan dia bang?”

“Kalau kau nak berubah, tiada kau ajak dia kahwin macam ajak orang pergi pasar. Kau ajak dia macam itu sebab kau ingat Sab gilakan kau kan bang? Kau ingat bila-bila sahaja boleh dapat dia balik kan? Sebab kau tak nampak yang si Sab tengah bahagia sebab tak payah fikir pasal suami yang banyak cekadak macam kau”.

“Memang aku mengamuklah. Sebulan juga tak bertegur dengan adik aku. Sebulan juga aku tak jumpa Sab dengan anak. Ada juga Sab mesej tanya khabar tapi aku tak mampu nak balas. Betul ke aku macam mana yang adik cakap? Aku ambil masa untuk self-reflection. Aku terfikir balik, hari jadi dia aku tak sambut. Sekadar wish sahaja.

“Hari ulang tahun memang sekadar nombor bagi aku. Kemudian aku teringat yang aku pernah mengadu dekat adik, penatnya drive setiap minggu pergi rumah Sab tengok anak. Padahal masa dia dengan aku, hari-hari Sab drive dalam jarak yang sama untuk pergi dan balik kerja. Kalau hari kerja yang memang jem teruk.

“Masa lafaz talak pun aku triggered sebab Sab sebut yang dia penat. Bagi aku masa itu, aku lagi penat. Aku terlupa yang emosi Sab tak pernah terjaga. Semua keputusan aku buat, tak pernah fikirkan kebahagiaan dia. Masa Sab ajak rujuk pun aku tolak sebab tak nak bagi apa yang dia nak. Bagi aku, kalau rujuk aku kalah, Sab menang.

“Sekarang bila dia dah dapat berdiri kaki sendiri, aku menyibuk sebab kononnya kami akan lebih bahagia sebagai satu keluarga. Padahal sebab aku tak sanggup nak terima yang bekas isteri dan anak lebih bahagia tanpa aku 24 jam dalam rumah yang sama dengan mereka.

“Aku kemurungan dan hampir sebulan tak keluar rumah. Aku ambil cuti tanpa gaji, berkurung dan asingkan diri. Abah dan adik ada datang rumah jenguk. Mengucap panjang bila nampak rumah aku dengan pinggan, polisterin bertimbun, air milo basi dalam cawan tak berbasuh, sampah dah berapa lama tak buang.

“Mereka datang tolong kemas, masakkan dan cuba bagi semangat. Aku nampaklah sedikit sinar kehidupan. Satu malam, aku dengar abah dan adik berbual. Abah tanya betul ke Sab dah taknak rujuk dengan aku. Adik tak perasan aku dekat belakang. Dia jawab, ‘kak Sab pernah cakap dengan orang, dia happy dengan hidup sekarang. Dapat berkebun, bermasyarakat. Dia tak rasa abang suka hidup macam itu.

“Abang nak duduk apartment sebab nak rumah yang tak perlu jalan jauh nak buang sampah, nak yang kemas dan fully-furnised. Bila Sab nak tanam pokok kena marah takut semutlah, nyamuklah. Anak pun tak bebas bermain”.

“Jatuh terduduk aku dan memang meraung sekuat-kuatnya. Terkejut beruk dua orang itu, terus bawa aku pergi bilik. Aku menangis sampai tertidur. Aku tak sangka aku seorang suami yang tak guna. Dalam pemikiran aku, akulah suami yang paling sempurna. Aku ada rupa, Sab biasa-biasa sahaja dari segi rupa.

“Masa berkurung aku sempat stalk Facebook (FB) Sab. Tak pernah aku ambil kisah pasal FB Sab sebelum ni. Dia tag gambar pun aku selalu abaikan. Hari itu, aku korek sekorek-koreknya, jumpa satu gambar zaman dia baru habis matrikulasi. Ada kawan dia tag nama Sab tapi dekat budak lelaki. Dari komen aku dapati itu ex-boyfriend dia.

“Tinggi, kulit gelap sedikit. Ada kawan dia komen, dapat jugak Sab kekasih tall, dark and handsome. Tetapi aku ini putih. Baby face, dan tinggi mana. Maksudnya aku bukan taste Sab rupanya. Selama ini aku ingat Sab tergilakan aku sebab aku kacak. Patut masa kami masuk meminang dia dulu, kakak Sab terkejut siap cakap, ‘putihnya pilihan hati Sab.

“Aku ingatkan pujian. Rupanya sebab dia pun tahu taste adik dia bukannya bukannya lelaki macam aku. Bila terdengar adik pula cakap macam itu, aku dah tak tahu apa lagi yang aku ada untuk offer dekat Sab. Aku bagi dia pengalaman berumahtangga yang teruk. Sab pun dah takda perasaan sampai lamaran aku pun dia kata lawak antarabangsa.

“Penceraian yang aku sangka aku mahukan ini rupanya hukuman buat aku. Aku tak tahu nak tulis apa lagi Sab. Pedih sangat hati ini bila tau yang perpisahan kita memberikan kau bahagia. Sekian coretan lelaki pentingkan diri.” Kongsi lelaki berkenaan melalui platform luahan hati di atas talian.

Baca juga:Ini Agong yang paling sekejap dalam sejarah Malaysia, ini kisah Tuanku Sir Hisamuddin mangkat pada hari pertabalannya