“Aku ditawar bekerja di Singapura tapi diseludup ke Myanmar, kalau melawan aku akan dirogol”. Berblaus merah lengan panjang – satu daripada dua helai baju yang dia ada – gadis bertubuh kecil itu duduk bersendirian.
Kesugulan bahasa tubuhnya jauh berbeza dengan tiga rakan lelakinya yang rancak berborak dan ketawa di luar restoran di Mae Sot, bandar di sempadan Thailand-Myanmar.
Kumpulan anak muda berusia 19 hingga 25 tahun itu ada sebab untuk berasa gembira.
Beberapa hari sebelumnya, pada 3 Februari, mereka diselamatkan daripada KK Garden di sempadan Thailand-Myanmar.
Petempatan terletak di sebelah Myanmar itu kerap menjadi tajuk berita belakangan ini sebagai pangkalan beberapa pusat penipuan di mana dilaporkan ratusan rakyat Malaysia diseludup masuk dipaksa bekerja sebagai penipu dalam talian.
Nur Fitriani Abdullah atau lebih mesra dipanggil Fi, lebih banyak berdiam diri semasa makan malam pada hari berkenaan.
Setiap soalan diaju kepadanya dijawab dengan sopan namun hanya setakat itu. Tiada perincian atau jawapan lanjut diberi. Hanya selepas beberapa pertemuan barulah dia mula menunjukkan kemesraan dan kesediaan untuk berbicara.
Berasal daripada keluarga berpecah belah, gadis berusia 19 tahun ini memberitahu Bernama dia sudah biasa bersendirian.
Anak jati Batu Pahat, Johor itu terpaksa berdikari menyara diri selepas datuknya yang merupakan penjaganya meninggal dunia lebih setahun lalu. Kematian datuknya itu memaksa dia berhenti sekolah tanpa sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Justeru, apabila dia ternampak iklan di laman sosial Facebook menawarkan rakyat Malaysia bekerja sebagai jurukemas di sebuah hotel di Singapura dengan gaji AS$1,100 (RM4,923) sebulan, dia bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.
“(Ia kerana di) Singapura gaji besar, saya rasa macam okey, boleh cuba kerja ni. Saya cuba (dulu) seorang. Kalau okey, baru saya ajak (teman lelaki saya),” ceritanya.
Teman lelakinya, Kamil Abdul Hamid, 25, kemudian memutuskan untuk turutserta. Fi yang tiada pasport dan Kamil diseludup masuk ke Thailand menerusi Sungai Golok sebelum dibawa ke Sungai Moei yang mengalir antara Myanmar dan Thailand, pada pertengahan September 2022.
Kisah Fi tidak jauh berbeza dengan mereka yang senasib, baik dari Malaysia ataupun negara lain apabila mendapati diri mereka diseludup sama ada ke Kemboja, Laos atau Myanmar selepas memohon ‘pekerjaan’ diiklankan atau terperangkap dengan penipuan asmara dalam talian.
Walapun penipuan pekerjaan dan penipuan asmara ini bukan masalah baharu, kaedah serta lokasi mangsa dan pemangsa berubah seiring peredaran masa.
Menerusi kemajuan teknologi digital dan perkembangan media sosial, ditambah sekatan akibat pandemik Covid-19 yang mewujudkan lebih ramai golongan terhimpit, jenayah penipuan pekerjaan dan penyeludupan manusia semakin menjadi-jadi.
Menurut pakar, tiada tanda kegiatan jenayah itu akan berakhir, sekali gus menambah kekayaan si dalang dengan risiko rendah, sedangkan mangsa mengalami trauma.
Malaysia antara pusat transit penyeludupan manusia di Asia Tenggara. Jika dahulu Malaysia negara destinasi penyeludupan pekerja asing dan pencari suaka, kini ia menjadi negara sumber kegiatan penyeludupan.
Jurucakap Pejabat Serantau bagi Asia dan Pasifik, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) Itayi Viriri memberitahu Bernama penipuan pekerjaan dan penyeludupan mangsa berubah melangkaui kaedah dan koridor biasa perekrutan.
“Jumlah serta kepelbagaian kewarganegaraan mangsa kita lihat sekarang adalah sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Malah, rasanya kami tidak pernah melihat set up penyeludupan sebegini sebelum ini. Kami rasa ini juga menunjukkan bagaimana jaringan sosial dan platform dalam talian serta media boleh digunakan,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Kemboja dan Laos destinasi pilihan sindiket terbabit. Namun kini, Myanmar mengambil alih kedudukan itu. Laporan media menyebut negara anggota Asean itu yang sedang mendepani kacau-bilau susulan rampasan kuasa tentera pada 2021, selain gerakan kumpulan pemisah sejak berdekad lalu, sebagai destinasi tumpuan baharu.
Profil mangsa juga berubah. Jika dahulu sindiket menyasarkan golongan miskin dan pekerja kurang kemahiran bagi menampung industri perikanan dan pertanian, kini mereka mencari individu mempunyai sedikit pendidikan, celik internet serta kemahiran berbahasa Inggeris dan/atau Cina.
“Cara mereka memilih negara untuk menyeludup (mangsa) bukan berasaskan rantau Asia, tetapi berdasarkan pendidikan bahasa Inggeris. Mereka utamakan pendidikan bahasa Inggeris dan Cina. Mereka mahu terjemahkan bahasa Cina dan (penulis bahasa) Inggeris menjalankan penipuan dalam talian. (Ia) disebabkan rakyat Malaysia mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang agak bagus berbanding negara lain seperti Thailand yang rata-rata rakyatnya tiada kemahiran itu,” kata Judah Tana, pengasas dan Pegawai Eksekutif Antarabangsa badan amal Global Advance Projects yang berpangkalan di Mae Sot.
Jabatan Negara Amerika Syarikat, badan bukan kerajaan serta pakar lain berkata, kebanyakan sindiket jenayah atau elemen jenayah terancang berkenaan daripada, atau melibatkan mereka yang ada kaitan dengan China. Barisan pengurusan pertengahan lazimnya terdiri daripada mereka yang berasal dari negara sama dengan mangsa, bermakna ada rakyat Malaysia bekerja secara sukarela sebagai penyelia.
Pakar juga berkata, kesalahan itu yang melibatkan penggunaan internet serta merentasi negara menyebabkan pelakunya sukar dikekang dan dibawa ke muka pengadilan, sekalipun ia tidak mustahil untuk dilakukan. Baik mangsa, aktivis ataupun penyelamat, mereka berkata, ada skrip khusus diikuti sindiket bagi menyeludup mereka yang terjebak dalam perangkap penipuan pekerjaan atau asmara.
Biasanya ia bermula dengan tawaran pekerjaan palsu di luar negara dengan janji melangit atau ajakan bersembang dalam talian dengan gadis cantik.
Sebaik terjerat, mangsa berjumpa dengan tukang rekrut atau penipu, sama ada dalam negara dan diseludup ke sempadan, atau menerima wang atau tiket kapal terbang untuk ke negara transit, di mana dalam kes ini ia adalah Thailand.
Selalunya pekerjaan dijanjikan di tempat lain. Mangsa hanya tahu tentang perubahan destinasi selepas mereka memulakan perjalanan.
Selepas tiba di Thailand, wakil syarikat akan menemui mangsa serta merampas pasport mereka. Sepanjang perjalanan ke lokasi pejabat, mangsa dipantau rapi pengawal sementara kenderaan serta pengawal ditukar setiap beberapa jam. Kawalan juga semakin ketat.
Semakin jauh perjalanan semakin tipis peluang mangsa melarikan diri. Mangsa melaporkan mereka mahu melarikan diri namun terlalu takut atau tidak tahu bagaimana serta daripada siapa harus mereka meminta bantuan.
Apabila sampai di destinasi terakhir – KK Garden di Myawaddy bagi Fi dan rakan-rakannya – mereka diberi penjelasan tentang pekerjaan mereka iaitu menipu orang ramai secara dalam talian. Jika mereka mahu meninggalkan tempat itu, ‘majikan’ memberitahu mereka perlu membayar balik fi perekrutan (dipercayai RM10,000 seorang) dan kos pengangkutan.
Fi berasa amat sedih dan kecewa selepas mengetahui yang dia ditipu.
“Saya rasa macam…kenapa tak nak beritahu benda betul? Saya rasa macam menyesal sangat. Sebab kita tahu benda itu benda haram, kita memang tak nak buat benda itu, tapi bila mereka ugut, saya rasa…kalau aku tak ada duit nak balik ni, memang aku kena kerja kat sini atau memang aku habis kat sini,” ujarnya.
Sindiket itu memberitahu Fi dan Kamil yang mereka perlu membayar RM60,000 masing-masing kepada syarikat. Rakan-rakannya, iaitu Adam Iskandar Tukiman dan Nur Akmar bin Hamsan pula diberitahu masing-masing berhutang dengan syarikat RM40,000. Penyelia mereka menetapkan sasaran untuk dipenuhi. Bergantung pada kejayaan mereka menipu orang, ada pelbagai insentif dan wang tunai akan diberi kepada mereka. Jika gagal, mereka akan dihukum secara fizikal.
Sesiapa yang melawan akan dibelasah, diseksa atau dikurung di dalam bilik pengasingan. Ugutan lain termasuk dijual bagi tujuan penuaian organ dan dibuang ke dalam Sungai Moei, di mana dikatakan ada buaya.
Fi berkata, penyelia mengugut untuk merogolnya bagi memastikan Kamil mematuhi arahan dan untuk mengawal dia pula, penyelia mengancam menyeksa Kamil. Demi menjaga keselamatan masing-masing, kedua-duanya akur.
Pakar berkata, keadaan itu adalah buruh paksa dan ikatan hutang yang mana mangsa dimanipulasi dan dipaksa bekerja bagi menjelaskan ‘hutang’ yang kononnya terakru serta bagi pembebasan mereka. Semakin cemerlang ‘prestasi’ mereka maka semakin pendeklah tempoh mereka ditahan di situ. Adakala mangsa bertukar menjadi pemangsa apabila mereka ‘hanyut’ dengan kejayaan dan menerima ganjaran lumayan dari syarikat.
Tana berkata, beliau membantu menyelamatkan hampir 100 mangsa dam cara sindiket menipu mangsa seolah-olah ia satu program brainwashing.
“Kita tidak boleh kata unsur brainwashing tidak berlaku ke atas mereka, sebab mereka yang putuskan bahawa kegiatan itu okey dan mereka boleh bertahan tinggal di situ,” katanya.
Fi, Kamil, Adam dan Akmar diselamatkan pada 3 Februari lepas. Berdasarkan maklumat disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum (Adun) Sim Chon Siang, angkatan tentera Thailand menghantar satu pasukan ke Myawaddy bagi mengesan mangsa. Ahli perniagaan Malaysia berpangkalan di Bangkok, Victor Wong pula menyalurkan maklumat berkenaan mangsa kelima Lee Zhi Chong yang turut diselamatkan.
Selepas lebih sebulan dia diselamatkan, Fi masih diselubungi rasa bersalah kerana terjebak dalam penipuan itu. Dia rasa bersalah kerana bersetuju membawa Kamil bersama dan rasa bersalah kerana menipu wang orang ramai demi menyelamatkan diri sendiri. Kini, gadis itu menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila mencari rezeki di seberang laut.
Hubungannya dengan Kamil sudah putus kerana katanya, ada ahli keluarga lelaki itu menyalahkannya kerana menyebabkan Kamil menjadi mangsa penyeludupan manusia.
“Tapi saya tak ambil hati sebab memang salah saya juga walaupun saya tak ajak dia dan dia sendiri yang nak ikut saya. Tapi tak mengapa, benda dah jadi. Kita perlu teruskan dan jalani hidup baharu,” katanya.
BACA:
Kerana sambutan luar biasa Menu Rahmah, sekali Singapura pun tiru!