Meskipun usia sudah mencecah 71 tahun, namun ia tidak menjadi penghalang untuk seorang nenek yang dikenali sebagai Tok Minah
Untuk melakukan aktiviti memanjat pokok dan memetik buah duku di kebun miliknya.
Menerusi program Majalah 3, Tok Minah atau nama sebenarnya Minah Omar akui tidak sabar setiap kali tibanya musim buah duku iaitu sekitar bulan September hingga November.
Biarpun usianya sudah senja, namun Tok Minah masih aktif melakukan aktiviti memanjat pokok duku di kebun miliknya yang berkeluasan 1.6 hektar yang terletak di Kampung Sekayu, Kuala Berang sejak usianya 25 tahun hingga ke hari ini.
Masa saya muda-muda dulu, saya selalu panjat pokok duku di kebun sendiri. Habis itu, saya pun ambil upah panjat pokok cari pucuk paku untuk membesarkan anak. Semua kerja saya buat. Saya tak suka duduk berehat dekat rumah, suka buat kerja.
@tv3malaysia NENEK DI ATAS POKOK Apabila tiba musim buah, ramai yang teruja untuk menikmati kemanisannya. Namun, berbeza dengan Tok Minah, seorang warga emas dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu. Walau sudah berusia 7 dekad, dia masih lincah memanjat pokok duku untuk memetik buah duku. Nak tengok story full, jom layan #Majalah3 malam ni jam 9 malam di TV3 ▶️ strim live HD #FamiliDuo ♬ original sound – TV3Malaysia
Menurut ibu kepada tujuh orang anak dan 17 orang cucu itu lagi, aktiviti memanjat pokok dan memetik buah duku adalah yang paling dinantikan saban tahun.
Difahamkan, cara memetik buah duku sedikit cerewet, ia tidak boleh diturunkan menggunakan pengait. Sebaliknya perlu dipetik menggunakan tangan dengan penuh berhati-hati disebabkan struktur kulit duku yang sangat lembut.
Dalam masa sama, wanita yang diberi gelaran ‘Tok Minah nenek atas pokok’ itu berkata, dia pernah ditegur oleh anaknya untuk tidak lagi melakukan aktiviti yang agak berbahaya itu, namun baginya itu adalah satu bentuk kepuasan dan minat.
Anak saya kadang kala marah juga tak bagi panjat pokok, tapi saya kata tak suka orang lain naik, biar saya panjat sendiri. Lebih puas.
Pernah duduk Kuala Lumpur dengan anak setahun, rasa risau kadang demam. Bila duduk rumah sendiri rasa tenang dan kuat. Saya memang suka panjat pokok.
Tok Minah kemudian menjual buah duku dengan harga lelong iaitu RM0.50 untuk sekilogram.
Tok Minah menjual buah duku di gerainya jika memperoleh banyak stok yang tidak dibeli oleh peniaga atau pemborong. Niatnya menjual dengan harga murah hanya mahu berkongsi kemanisan buah duku dengan orang ramai.