Pemain gitar utama kumpulan Spider, Napie atau nama sebenarnya Hanafi Hamdan, telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh sekitar pukul 3.45 pagi, Jumaat, akibat serangan angin ahmar.
Pengurus kumpulan Spider, Azmi, mengesahkan berita sedih ini dan memaklumkan bahawa Allahyarham dibawa ke hospital setelah dilaporkan dalam keadaan lemah.
“Arwah memang sudah lama menghidap angin ahmar.
Pagi tadi, keadaan beliau semakin lemah dan keluarganya segera membawanya ke hospital. Beliau meninggal dunia di hospital sekitar pukul 3.45 pagi,” kata Azmi.
Sebelum ini, Napie pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada Julai lalu akibat masalah kesihatan yang sama. Vokalis Spider, Tam, turut berkongsi berita mengenai Napie yang selamat menjalani pembedahan pada 27 Julai lalu.
Jenazah Allahyarham kini berada di hospital dan akan dibawa ke Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, untuk urusan pengebumian sekitar pukul 9 pagi.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes, Rawang, selepas solat Jumaat.
Al-Fatihah buat Allahyarham.
BACA: Lelaki nekad bina jambatan selepas satu-satunya jalan ke rumah mereka ditutup jiran