Akibat sakit tua, pelantun lagu ‘Inilah barisan kita’ meninggal dunia

Oleh MHDAILY

Akibat sakit tua, pelantun lagu ‘Inilah barisan kita’ meninggal dunia.

Bekas pengulas sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) popular, Jamaludin Alias menghembuskan nafas terakhirnya akibat sakit tua, jam 5 pagi tadi.

Berita pemergian arwah Jamaludin yang juga penyanyi lagu patriotik, Perajurit Tanah Air disahkan anaknya yang hanya dikenali sebagai Fazli.

Akibat sakit tua, pelantun lagu 'Inilah barisan kita' meninggal dunia

“Arwah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun. Jenazahnya disolatkan di Masjid Tabung Haji, Kelana Jaya selepas solat Jumaat sebelum dikebumikan,” katanya.

Allahyarham Jamaludin dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 16 Februari 1937. Beliau mula bertugas di RTM antara 1962 hingga 1992.

DISYORKAN UNTUK ANDA
Arwah pernah menyertai dan menjuarai Bintang Radio 1961 dan menerima hadiah disampaikan Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Lagu Perajurit Tanah Air atau lebih popular dipanggil Barisan Kita kerap dinyanyikan untuk penyokong pasukan negara di stadium terutama dalam perlawanan bola sepak, badminton dan hoki.

Lagu ciptaan Allahyarham Saifoel Bahari Elyas itu juga dimainkan menjelang Hari Kebangsaan dan apabila atlet negara bertanding dalam kejohanan atau temasya sukan antarabangsa.

Dua tahun lalu, lagu Barisan Kita kembali diputarkan dan mendapat perhatian ramai selepas siaran berita Nasional 1, jam 8 malam di TV1 sejak penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan, arwah dikurniakan dua cahaya mata lelaki dan seorang perempuan serta lima cucu.

Menerusi temubual sebelum ini, arwah berkata, anak dan cucunya tiada yang mengikut jejak menyanyikan lagu patriotik.

Ketika menjadi pengulas sukan, arwah seangkatan dengan Datuk Rahim Razali, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Dzulkarnain Hassan dan Datuk Aziz Ibrahim.

Individu yang mula mengesan bakatnya dalam kerjaya pengulas sukan ialah Allahyarham Amran Hamid.

Ketika hayatnya, arwah pernah bertugas di Sukan SEA Jakarta 1979, Sukan SEA Manila (1991), Sukan Asia Jakarta (1962) dan New Delhi (1982) dan Sukan Olimpik Barcelona (1992).

Selain itu, beliau pernah membuat liputan secara langsung Piala Asia 1980 di Kuwait dan Hoki Piala Dunia di Bombay pada 1982.

BACA:

Gara-gara pembalakan haram, orang asli di Gua Musang mengeluh susah cari makan

Pening apply loan rumah tak pernah lepas, wanita ini dedah cara beli rumah confirm lulus