am merupakan satu aksesori penting dalam membantu menentukan waktu yang tepat kepada si pemakai
Bahkan ia juga memberikan gaya dan personaliti tersendiri kepada individu tersebut.
Selain itu, terdapat juga jam yang direka khas untuk membantu orang awam menguruskan waktu mereka seperti Big Ben
sebuah menara jam yang terletak di tengah bandar London.
Lazimnya, setiap jam dilengkapi dengan jarum ‘jam’, ‘minit’ dan ‘saat’, selain bateri sebagai sumber kuasa.
Setiap jam di tempat awam juga mempunyai rekaan atau corak ikonik yang menjadi perhatian ramai.
Begitu juga dengan sebuah jam besar di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, Belanda yang memukau mata ramai kerana keunikannya.
Nampak seperti tidak masuk akal kerana jarum jam tersebut ‘dicat’ oleh seorang lelaki yang berada di dalamnya. Bagi yang pertama kali melihatnya, mesti banyak persoalan yang bermain di minda. Betul ke ada manusia dalam jam tersebut?
Untuk pengetahuan anda, jam yang digantung setinggi 3 meter (10 kaki) itu dicipta oleh pereka Belanda, Maarten Baas pada tahun 2016.
Dinamakan sebagai Jam Schiphol, ia merupakan salah satu karyanya yang sangat unik dan menjadi panduan masa terhadap jutaan orang yang lalu-lalang di lapangan tersebut setiap tahun.
Dalam sebuah video yang tular beberapa tahun lalu, ia mendedahkan seorang lelaki lengkap berpakaian seragam kerja dengan sehelai kain buruk berwarna kuning di dalam poket dan satu baldi merah di sisinya.
Difahamkan, tujuan penggunaan peralatan tersebut adalah untuk memberi penghormatan terhadap artis terkenal Belanda, Mondrian.
Menariknya, individu misteri tersebut bertindak melukis dan memadam masa minit demi minit di sebalik paparan jam lut sinar itu.
Misteri Lelaki Disebalik Jam Schiphol
Menurut portal Atlas Obscura, sebenarnya paparan tersebut hanyalah satu rakaman. Ia bagi memberikan gambaran ilusi yang meyakinkan bahawa terdapat seorang manusia sedang berdiri di balik jam lut sinar.
Jadi, lelaki tersebut tidaklah betul-betul ‘menapak’ di dalam jam itu untuk menggerakkan jarum. Ia hanyalah video yang direkod selama 12 jam.
Bagaimana Konsep Jam Schiphol Wujud?
Menurut Baas, dia mendapat ilham tersebut sewaktu menghadiri Pameran Perabot Milan pada 2009 yang menyaksikan dua orang tukang penyapu sampah berdiri dalam jam selama 12 jam.
Sejak itu, Baas telah mengembangkan konsep tersebut dengan penciptaan “Jam Schiphol” yang menggunakan konsep seorang lelaki berpakaian seragam kerja di sebalik jam lut sinar itu.
“Masa nyata adalah istilah yang digunakan dalam industri filem. Ia bermakna tempoh masa yang sebenar adalah sama seperti masa yang dilukiskan.
“Saya menggunakan konsep itu dalam jam ‘masa sebenar’ (Jam Schiphol) dengan menunjukkan video ‘tangan masa’ (dilukis) dalam waktu sebenar,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Ketika ditanya mengenai jam itu lagi, dia memberitahu bentuk jam tersebut menggunakan rekaan archetypical.