Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengesyaki bahawa air longkang berhampiran Jalan Raja Syed Alwi, di sini,
Menjadi biru akibat pelepasan air cucian bekas cat dari sebuah premis di kawasan tersebut.
Pengarah JAS Perlis, Jamal Affendy Shahar, berkata aduan mengenai pencemaran itu diterima melalui panggilan telefon pada pukul 2.50 petang tadi dan ia turut tular di media sosial.
“Hasil pemeriksaan mendapati air cucian bekas cat telah dilepaskan terus ke dalam longkang.
Arahan segera telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang menjual cat tersebut untuk menghentikan pencemaran itu,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, sampel air tercemar telah dihantar ke Jabatan Kimia Cawangan Negeri Kedah untuk dianalisis dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, JAS juga sedang menyiasat kejadian kebocoran gas klorin di Kampung Sena yang berlaku pada hari yang sama.
“Operator loji telah menutup injap pada pukul 11.30 malam semalam dan pemeriksaan susulan mendapati tiada kebocoran baru. Pemantauan akan diteruskan selama satu hingga dua hari untuk memastikan keselamatan penduduk,” katanya.
BACA: Rupanya ini rahsia Pulau Pinang jadi tumpuan pelancong China, Singapura dan Indonesia