Malaysia bersedia menyambut kemasukan pelabur dari syarikat teknologi dan semikonduktor China, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dalam satu wawancara bersama Financial Times.
Fenomena ini dijangka berlaku apabila Beijing berdepan dengan ancaman tarif baru dari bakal Presiden AS, Donald Trump, yang dijangka kembali menjawat jawatan pada 20 Januari ini.
Langkah syarikat-syarikat China ini dijangka membawa pelaburan bernilai berbilion dolar ke Malaysia dalam beberapa tahun mendatang,
Menjadikan negara ini pesaing utama kepada syarikat-syarikat AS yang sebelum ini mendominasi sektor teknologi tempatan.
“Banyak syarikat China kini mencari peluang untuk berkembang di luar pasaran domestik mereka,” kata Rafizi.
“Malaysia menjadi salah satu destinasi utama kerana kedudukan strategik dan kestabilan ekonomi.”
Strategi “China-plus-one” — di mana syarikat multinasional menambah pelaburan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia untuk mengurangkan risiko dan kos — telah memberikan manfaat besar kepada Malaysia sejak sedekad lalu.
Malaysia telah lama memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global untuk industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI).
Negeri seperti Pulau Pinang dikenali dengan operasi pembuatan semikonduktor yang kukuh, manakala Johor pula muncul sebagai hab utama pusat data.
Antara tahun 2019 hingga 2023, Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai $21 bilion ke dalam industri semikonduktor dan $10 bilion untuk pusat data.
Dalam setahun kebelakangan ini, syarikat-syarikat teknologi gergasi AS seperti Amazon, Nvidia, Google, dan Microsoft telah melabur hampir $16 bilion untuk membangunkan pusat data di Johor.
Syarikat teknologi China seperti ByteDance — pemilik TikTok — juga aktif melabur di Malaysia dengan komitmen bernilai $2 bilion di Johor pada tahun lalu.
Rafizi menekankan bahawa kerajaan Malaysia kini lebih selektif dalam menerima pelaburan asing, dengan fokus pada pelaburan yang boleh menyumbang nilai tambah kepada ekonomi tempatan.
Beliau optimis bahawa ketegangan perdagangan antara AS dan China akan membuka peluang bagi Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam reka bentuk cip, bukan sekadar pembuatan.
“Langkah tarif yang dikenakan ke atas syarikat China ini secara tidak langsung membantu Malaysia menarik pelaburan yang lebih berkualiti dan berjangka panjang,” jelas Rafizi.
Bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serantau, Malaysia baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Singapura untuk membangunkan Zon Ekonomi Khas antara kedua-dua negara.
Inisiatif ini dijangka akan menyumbang $26 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia menjelang 2030, serta mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir dan 50 projek baru.
BACA: Gara-gara tak derma pada Pibg, murid 3 hari tahan malu didenda