Dakwaan yang mengaitkan guru sebagai penjawat awam paling ramai yang memalsukan sijil cuti sakit (MC)
adalah tidak bertanggungjawab, menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau menegaskan bahawa dakwaan tersebut telah mencetuskan persepsi negatif terhadap profesion perguruan dan isu ini seharusnya tidak timbul.
“Tatakelola penjawat awam sentiasa diberikan perhatian untuk memastikan prestasi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat
Kementerian Pendidikan (KPM) juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini mendakwa bahawa golongan guru adalah kumpulan penjawat awam paling ramai terlibat dalam salah laku memalsukan MC.
Cuepacs juga dilaporkan mendakwa kira-kira 1% hingga 2% daripada 10,000 penjawat awam telah dikenal pasti memberikan MC palsu, selain menggunakan cuti kecemasan semata-mata untuk melanjutkan tempoh bercuti.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, turut membidas dakwaan tersebut, yang dianggap mempertikaikan profesionalisme 450,000 guru.
Selain itu, Fadhlina menyatakan bahawa kementerian sentiasa melakukan pemantauan di setiap peringkat, dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.
“Ketika ini terdapat lebih 400,000 guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti.
Kerajaan Madani juga menghargai peranan penting guru dalam membangunkan negara dan melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik,” tambahnya.
BACA: Patutlah nekad campak arwah Sabari Baharom, rupanya ini yang suspek buat dengan wang hasil samun