Mulai 1 Januari 2025, Malaysia akan melaksanakan peraturan baharu yang menghendaki semua platform media sosial dengan lebih daripada 8 juta pengguna
untuk mendapatkan lesen operasi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Peraturan ini diperkenalkan sebagai tindak balas terhadap peningkatan kes jenayah siber dan kandungan berbahaya yang kian merisaukan sejak awal 2024.
Langkah ini bertujuan untuk memperketat kawalan terhadap dunia digital, sekaligus memastikan keselamatan pengguna di negara ini.
Antara platform yang sudah mematuhi peraturan baru ini adalah dua gergasi media sosial dari China, iaitu WeChat dan TikTok.
Kedua-duanya telah berjaya memperoleh lesen operasi, menjadikan mereka antara yang pertama untuk mematuhi peraturan tersebut.
Namun, beberapa platform lain masih berada dalam proses permohonan atau memenuhi syarat yang ditetapkan. Contohnya, aplikasi Telegram kini berada di peringkat akhir untuk mendapatkan lesen, sementara Meta, yang mengendalikan Facebook, Instagram, dan WhatsApp, baru sahaja memulakan permohonan lesen mereka.
Menariknya, platform media sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) mendakwa mereka mempunyai kurang daripada 8 juta pengguna di Malaysia. Oleh itu, mereka menyatakan tidak memenuhi kriteria perlesenan yang ditetapkan. Pihak regulator kini sedang meneliti kenyataan tersebut bagi mengesahkan jumlah pengguna sebenar platform ini.
Sementara itu, Google dan anak syarikatnya, YouTube, kelihatan lebih berhati-hati dalam pendekatan mereka terhadap peraturan ini. Google menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa syarat teknikal, terutamanya yang melibatkan kandungan video dan klasifikasi yang lebih mendalam.
Kerajaan Malaysia menggariskan langkah ini untuk memperkukuhkan kawalan terhadap platform digital yang memberi kesan besar kepada masyarakat, dengan matlamat melindungi rakyat daripada kandungan yang merbahaya serta memerangi jenayah siber. Platform yang gagal mematuhi peraturan dan tidak mendapat lesen berisiko menghadapi tindakan undang-undang yang tegas.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia serius dalam memastikan persekitaran internet yang lebih selamat dan teratur, serta mendesak syarikat teknologi global agar mematuhi peraturan tempatan demi kepentingan bersama.
BACA: Menteri dedah sebab apa tiada masjid dalam montaj tahun melawat Malaysia
80f89j