Satu rakaman yang memaparkan sedutan ceramah dari pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman yang berdurasi 26 saat itu, Ustaz Azhar memberi penjelasan kepada pendengar mengenai hukum basuh tangan menggunakan ‘air sirap kenduri’.
Amalan ini dikatakan sering dilakukan orang ramai ketika menghadiri kenduri kahwin kerana malas berjalan ke tempat membasuh tangan yang disediakan tuan rumah.
Menurut penceramah terkenal dari Terengganu itu, amalan tersebut adalah ‘haram’ dilakukan berikutan tuan rumah menyediakan air sirap tersebut sebagai minuman.
Tular di media sosial, rakaman ceramah dari pendakwah yang mesra disapa sebagai UAI itu dimuat naik pengguna TikTok menerusi satu hantaran tular di platform tersebut.
“Kalau pergi rumah orang kenduri, jangan basuh tangan dengan air sirap. HARAM. Ramai orang basuh (guna air sirap) sebab dia malas nak pergi dekat paip air yang jauh.
“Jadi dia ambil air sirap itu sahaja bagi menyiram tangan. Kerana air di situ (sirap kenduri) disediakan oleh tuan rumah hanya untuk diminum, jadi di situlah HARAMnya.
“Haa, kenalah jaga. Jangan buat lebih kurang,” Jelas Ustaz Azhar memberikan amaran kepada pendengar ceramah agar tidak mengambil ringan dan lebih berhati-hati selepas ini.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton terkejut dengan maklumat tersebut berikutan ramai yang pernah membuat perkara itu ketika ke kenduri kahwin.
Berterima kasih atas perkongsian ustaz Azhar Idrus, ada juga individu yang berniat menghalalkan ‘sirap kenduri’ bagi membasuh tangan jika menganjurkan kenduri kelak.
“Saya buat kenduri sudah berniat nak halalkan sahaja air sirap itu untuk tetamu bagi kegunaan apa sahaja,” kongsi seorang pengguna untuk mengelakkan situasi tersebut berlaku.
“Allahuakbar, aku pun pernah buat macam ini. Terima kasih atas perkongsian.” Kata pengguna lain menginsafi perbuatannya kerana pernah melakukan perkara sama.
Mesti ramai yang pernah buat kan? Semoga penjelasan daripada Ustaz Azhar Idrus ini dapat menjawab persoalan anda.
Baca juga: Telinga ada sepasang je tapi lelaki ini miliki 3615 telefon!