“Air bukan isu yang besar, orang kampung boleh cari penyelesaian sendiri” – Nik Amar
Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan isu air dihadapi rakyat negeri ini terutama di kawasan kampung bukannya satu masalah besar untuk PAS terus menerajui kerajaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata, ini berikutan di kampung mereka mempunyai pilihan apabila boleh membina air telaga tiub atau perigi.
Katanya, penduduk kampung faham dengan masalah air itu apabila mereka mencari jalan penyelesaian sendiri.
“Kita juga menjelaskan dengan cara yang baik apa masalahnya. Macam isu air kita cerita (masyarakat), jadi setakat ini berdasarkan pengalaman kita sendiri berjumpa orang ramai, mereka boleh faham.
“Tetapi yang jadi kecoh sebab ini politik dan yang sensasi politik. Benda kecil pun jadi besar. Itu masalahnya.
“Orang kampung sendiri dia faham dan kadang-kadang kes itu (air) dia selesai sendiri. Contoh kalau tidak ada air kerajaan, dia bina telaga tiub, gali perigi. Dia (masyarakat) cari penyelesaian sendiri. Sebab itu bagi di kampung ini bukan perkara besar, bukan isu yang besar (masalah air),” katanya.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS, mengakui ada tempat memang ada masalah (air) dan ada sesetengah tempat akan hantar bekalan air dengan lori tangki.
“Ada tempat kita selesai (masalah air), cuma mungkin kelemahan kita ini kurang menyampaikan apa yang kita buat kepada masyarakat.
“Contoh, di Teluk Mesira, Bachok yang mengalami masalah air sebelum saya jadi wakil rakyat. Alhamdulillah sekarang (air) sudah selesai apabila kita buat loji rawatan air mini.
“Kita buat khusus di kawasan Teluk Mesira dengan menggunakan teknologi yang dicipta oleh anak Kelantan sendiri dia panggil teknologi oksigen untuk membersihkan air. Saya tengok masa kita buat, air boleh minum terus dari paip kerana air itu bersih,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu tidak disebar dengan secara meluas. Apa yang positif yang dibuat kerajaan dia tidak ambil, dia cari yang negatif. Itu jadi masalah dan sekarang kita berdepan dengan serangan politik bukan isu sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Amar berkata, PAS mengakui Perikatan Nasional (PN) akan berhadapan saingan sengit di beberapa kerusi DUN dengan peluang 50-50.
Antara kerusi berkenaan adalah DUN dalam Parlimen Gua Musang, Jeli dan Kota Lama.
“Bagi saya kerusi itu adalah mana-mana DUN yang mana PAS menang dengan majoriti bawah 1,000 dalam PRU14 lalu seperti DUN Chetok, Kemahang dan Kota Lama. Ini DUN yang mencabar tidak kira PAS, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, semua sama,” katanya.
Pada PRU14, PAS menang 37 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi DUN. BN menang lapan kerusi sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar UMNO dan menyertai BERSATU.
BACA: Dah boleh buang kad Touch&Go, ini 12 tol yang boleh bayar guna kad debit