Air Asia umum ambil semula pilot, kru kabin yang diberhentikan. AirAsia X komited untuk memanggil balik semua juruterbang dan kru kabin, di samping mengesahkan bahawa mereka yang terkesan oleh pandemik akan berpeluang untuk kembali bertugas menjelang bulan Disember tahun ini.
Selepas pandemik, AirAsia X mengaktifkan semula seramai 175 juruterbang dan 285 kru kabin termasuk mengambil semula 131 kru kabin yang telah diberhentikan berikutan COVID-19.
Ia berikutan strategi pelancaran semula AirAsia X mencatat momentum kukuh apabila ia fokus kepada pasaran jarak sederhana dalam jangka pendek yang terbukti menerima permintaan paling kukuh.
Syarikat penerbangan itu mengumumkan peningkatan penerbangan Malaysia AirAsia X (D7) kepada 44 penerbangan mingguan merentasi 10 laluan dan kekerapan Thai AirAsia X (XJ) kepada 34 penerbangan mingguan merentasi enam laluan, bermula dalam masa dua bulan akan datang.
AirAsia X baru-baru ini melancarkan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Korea Selatan (Seoul-Incheon) dan India (New Delhi) serta menyambung semula laluan ke Australia (Sydney, Melbourne, Perth), New Zealand (Auckland) dan Jepun (Tokyo-Haneda dan Sapporo), Arab Saudi (Jeddah), dan Taipei bermula bulan November ini.
Thai AirAsia pula melancarkan perkhidmatan dari Bangkok ke Jepun (Osaka dan Tokyo-Narita) dan Korea Selatan (Seoul-Incheon), serta bersedia untuk melancarkan laluan terus ke Australia (Melbourne dan Sydney) dan Jepun (Sapporo-Chitose) bermula awal bulan Disember.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu kini kembali dengan memulakan perkhidmatan ke destinasi jarak sederhana paling popular dalam jangka masa pendek, yang terbukti menguntungkan dari segi sejarah.
Beliau berkata, strategi itu memastikan AirAsia X boleh beroperasi pada kekerapan optimum untuk laluan teras bagi mengurangkan kos supaya dapat menawarkan tambang terbaik dalam pasaran untuk tetamu.
Pada masa yang sama, katanya ia juga membolehkan AirAsia X memaksimumkan pendapatan untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan ini pada masa hadapan.
“Apa yang paling penting adalah kami boleh mengesahkan bahawa kakitangan yang terpaksa dilepaskan semasa COVID-19 melanda kini telah kembali. Saya telah membuat komitmen ini dan amat berbesar hati kerana dapat memenuhinya dalam masa dua setengah tahun, sejajar dengan pengembangan operasi kami.
“Ramai juruterbang dan kru kabin telah kembali berkhidmat, tetapi dalam usaha kami untuk terus berkembang sejajar dengan peningkatan permintaan perjalanan, juruterbang yang belum berkhidmat dan kru kabin yang diberhentikan diberi peluang untuk kembali berkhidmat pada bulan Disember tahun ini. Malah, kami kini sedang melatih semula kumpulan kru kabin ketiga yang diambil semula.
“Walaupun jarak sederhana adalah keutamaan buat masa ini, kami turut akan melancarkan destinasi jarak jauh seperti London, Dubai dan Istanbul, yang akan kami umumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail pada masa ini, syarikat beroperasi dengan empat buah pesawat berbadan lebar jenis A330 dan menjangka akan beroperasi dengan sehingga 13 buah pesawat menjelang suku pertama tahun 2023 untuk memenuhi permintaan yang kukuh dan semakin meningkat bagi penerbangan jarak sederhana dengan nilai terbaik.
Beliau berkata, mulai bulan Disember ini, AirAsia X akan menambah lebih banyak destinasi dan meningkatkan kekerapan penerbangan kepada 53 penerbangan mingguan termasuk penerbangan harian ke destinasi popular seperti Kuala Lumpur ke Seoul (Incheon).
Katanya, ini menandakan bahawa perjalanan udara jarak sederhana semakin pulih dan AirAsia X berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini dalam memacu pertumbuhan mampan serta menawarkan nilai dan pilihan yang lebih baik kepada tetamu.
“Kami melihat tempahan pada masa hadapan yang kukuh untuk laluan yang telah dibuka dan akan menyambung semula lebih banyak laluan dalam pasaran teras seperti Jeddah, Taipei, Tokyo (Haneda) serta Sapporo dalam dua bulan akan datang untuk berikutan permintaan yang semakin meningkat. Aliran tempahan pada masa hadapan amat menggalakkan merentas semua metrik utama, dengan faktor muatan tahun ke tahun dan tambang purata yang lebih tinggi sehingga suku pertama tahun 2023.
“Kami juga menjangkakan permintaan yang kukuh untuk laluan baharu kami ke Istanbul, Turki yang akan diumumkan tidak lama lagi dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airports atas sokongan dan kerjasama mereka. Kami tidak sabar untuk terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) tidak lama lagi.
“Yang penting, Allstars adalah aset terbesar kami dan saya berbesar hati untuk mengalu-alukan mereka kembali, terutamanya juruterbang dan kru kabin yang merupakan nadi operasi kami,” katanya.
BACA:
Isu ejen Mossad, Anwar tuntut Hamzah dan Hisham beri penjelasan
Dari asnaf hingga jadi T20, pelajar cantik MRSM ini pernah sedih dikelilingi rakan kaya
Ini lokasi paling panas di bumi, satu hidupan pun tak hidup dekat sini