ADUN di Sabah nikmati kenaikan gaji. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 bagi kenaikan emolumen atau gaji Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran DUN Sabah.
Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman mengumumkan kelulusan enakmen itu selepas bacaan kali ketiga yang dipersetujui sebulat suara oleh anggota Dewan pada persidangan DUN Sabah.
Dalam bacaan kali kedua, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tidak dinafikan wujud persepsi apabila DUN mengambil keputusan untuk menimbangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan.
“Tetapi seperti yang saya katakan tadi, yang penting kerajaan mempunyai satu usaha atau dasar yang baik untuk memastikan bahawa rakyat kita terutama daripada golongan kurang berkemampuan dibantu, kita ada dasar yang baik dan dengan adanya emolumen atau gaji ini juga adalah digunakan oleh wakil rakyat untuk membantu rakyat.
“Inilah budaya kita di Sabah sekarang ini setiap hari wakil rakyat akan dikunjungi oleh rakyat mereka. Saya setuju setengahnya mungkin gaji yang diterima ini, emolumen ini tidak cukup untuk membantu rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mengambil inisiatif untuk menaikkan kadar emolumen supaya dapat meringankan sedikit tanggungjawab dari segi kewangan di kalangan anggota kerajaan dan juga wakil rakyat.
Berdasarkan kenaikan itu, gaji yang diterima Ketua Menteri Sabah dicadangkan naik kepada RM33,033 berbanding RM23,595 ketika ini.
Gaji Timbalan Ketua Menteri pula dicadangkan naik kepada RM29,221.50 berbanding RM20,872.5 ketika ini.
Bagi gaji Menteri dan Speaker pula, kadar baharu yang dicadangkan ialah RM22,869 berbanding RM16,335 ketika ini, manakala gaji ADUN dicadangkan naik kepada RM11,130 berbanding RM7,950 ketika ini.
Baca Juga :
Banjir besar: Akhirnya Mat Bashah mengaku lulus buka ladang durian di Baling