Ada ‘pihak’ tidak senang hubungan baik Pas-Umno dan cuba renggangkan – Zahid

Ada ‘pihak’ tidak senang hubungan baik Pas-Umno dan cuba renggangkan – Zahid

Saya tahu ramai tertanya-tanya mengenai status terkini Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori UMNO dan PAS pada tahun 2019.

Ia disebabkan PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Manakala UMNO sebaliknya. UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan.

Pendirian UMNO itu selaras dengan perkembangan terbaru majoriti akar umbi parti pada mesyuarat bahagian menolak kerjasama dengan PPBM pada PRU15.

Bagi menjelaskan persoalan tentang kedudukan MN yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, apa yang boleh saya katakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

Hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan.

Suka juga saya berkongsi cerita mengenai ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti telah pun wujud sejak tahun 1998.

Selepas saya mendapat “Ijazah” Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din ketika itu.

Allahyarham Tuan Guru waktu itu merupakan Ketua Penerangan PAS. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr. Haron Din kepada saya.

Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.

Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepada saya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2016.

Syukur allhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

Saya masih ingat menjadi Presiden UMNO yang berkunjung ke pusat perkhidmatan Presiden PAS di Rusila dan menghadiri Muktamar Sanawi PAS di Gong Badak.

Usaha mewujudkan kerjasama UMNO dan PAS pasca PRU14 ini turut dijayakan oleh kepimpinan tertinggi yang lain kedua-dua parti.

Saya berfikir kerjasama ini perlu diteruskan UMNO dan PAS kerana ia terbukti memberi impak positif dan InsyaAllah hubungan fikrah ini akan terus rapat dan dekat.

Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama.

Sumber :