Ada 2 negara besar dunia pernah berperang kerana seekor babi, ini kisah yang buat ramai nak tahu.
Sebenarnya banyak je peperangan pelik yang pernah berlaku di dunia ni sebelum atau selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua.
Kadangkala tu sebab peperangannya tak masuk akal, kiranya boleh je settle dengan cara berunding tapi nak juga perang.
Memandangkan kami sebut pasal peperangan pelik ni, apa kata kami kongsikan sebuah kisah perang yang pernah berlaku hanya disebabkan seekor babi pada 1859. Pelik en, kenapa mereka bergaduh kerana seekor babi? Takpe, mari ikuti kisah ini.
Peperangan ini tercetus apabila…..
Orang Amerika telah menembak seekor babi kepunyaan orang British
Kisahnya bermula pada tahun 1846 ketika Perjanjian Oregon ditandatagani oleh Amerika Syarikat dan British. Perjanjian itu bertujuan untuk menghentikan pergaduhan kawasan sempadan antara Amerika Syarikat dan Britain iaitu di tanah antara Pegunungan Rocky dan garis pantai Pasifik.
Nak dijadikan cerita, di antara sempadan itu terdapat sebuah pulau yang bernama Pulau San Juan dan kedua belah pihak telah meminta kebenaran sesama mereka supaya masyarakat mereka boleh tinggal bersama di situ.
Di situ, Syarikat Hudson’s Bay (orang British punya) telah membuka sebuah kawasan perikanan salmon serta kawasan penternakan kambing biri-biri. Peneroka Amerika Syarikat seramai 20 hingga 30 peneroka pula telah tinggal di situ dan membina kawasan perumahan.
Mereka hidup bahagia dan menjalinkan hubungan akrab sesama mereka tapi ia tidak bertahan lama. Hal ini kerana pada 18 Jun 1859, seekor babi telah menceroboh tanah perladangan milik seorang petani Amerika Syarikat iaitu Lyman Cutlar dan babi itu telah merosakan serta memakan tanaman kentangnya.
Lyman Cutlar pun apa lagi dengan perasaan marahnya, dia telah menembak babi itu tapi dia tak tahu yang babi itu kepunyaan seorang pekerja Syarikat Hudson’s Bay, Charles Griffin.
Kesian kalau marah ke apa, babi gak kena. Imej dari Unsplash.
Charles Griffin ni memang banyak bela babi lepastu dia ni pula terkenal dengan sikap membiarkan babinya berkeliaran di sekitar kawasan pulau tu. Lepas mengetahui tentang kematian babinya, dia pun pergi jumpa Lyman Cutlar dan terdapat beberapa laporan mengatakan macam ni la mereka bergaduh:
“Lyman Cutlar:…..tapi babi tu makan kentang aku!”
“Charles Griffin: Sampah! itu terpulang kepada kau untuk menjaga kentang-kentang kau daripada babi milik aku.” – Petikan dialog dari Historic UK.
Lyman Cutlar ni pun berasa bersalah dan mahu membayar ganti rugi kepada Charles Griffin sebanyak $10 tetapi tawaran itu ditolak. Ada juga laporan mengatakan Charles meminta Lyman membayar $100.
Lepastu, Charles Griffin ni pun pergi berjumpa pihak berkuasa dan telah….
Membuat laporan sehingga mencetuskan kemarahan orang Amerika Syarikat
laporan apa pulak Charles Griffin buat? Meh, baca dulu. Imej dari Washington Our Home.
Charles Griffin sebenarnya membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan British supaya menangkap Lyman Cutlar lepastu apa lagi, orang Amerika Syarikat pun marahlah. Seterusnya, orang Amerika Syarikat telah membuat satu petisyen untuk mendapatkan perlindungan dari tentera Amerika Syarikat.
Petisyen tersebut telah diterima oleh seorang Komando Jabatan Oregon, Jeneral William S. Harney. Dia ni sangat terkenal dengan ideologi anti-British dan tanpa berfikir panjang, dia telah menghantar 66 para tentera ke Pulau San Juan pada 27 Julai 1859.
Selepas mendengar berita tentang tindakan Jeneral William, seorang Gabenor British Columbia, James Douglas, telah menghantar tiga kapal perang British ke Pulau San Juan sebagai tanda amaran.
James Douglas (kiri) & William S. Harney (kanan). Imej dari Times Colonist & American History Central.
Pada bulan seterusnya, pergolakkan telah berlaku lagi di mana kedua-dua belah pihak tidak mahu mengaku kalah jadi, masing-masing besar kepala dan mereka menambahkan lagi bilangan para tentera untuk berperang. Tapi, sebenarnya mereka ni tak berperang lagi pun sebab masing-masing tunggu siapa mulakan dulu.
Lepastu, seorang Ketua Komando Tentera Laut Britain di Pasifik, Robert L. Baynes telah datang di Pulau San Juan. James Douglas menyuruh Robert untuk memanggil angkatan tenteranya tetapi Robert menolaknya kerana mengatakan dia tak mahu menyertai perang yang hanya disebabkan seekor babi sahaja.
Pada masa itu, berita mengenai perang itu telah sampai ke Washington dan London. Pegawai atasan Amerika Syarikat dan British terkejut kerana pergaduhan disebabkan seekor babi ni telah melibatkan 3 kapal perang, 84 senjata dan lebih dari 2,600 orang.
Oleh kerana bimbang, kedua-dua belah pihak telah melakukan rundingan. Akhirnya, mereka telah memutuskan supaya tidak lebih dari 100 orang dibenarkan untuk datang ke pulau itu sebelum perjanjian formal ditulis. British kemudiannya mendirikan kem di utara Pulau San Juan manakala orang Amerika tinggal di selatan Pulau San Juan.
Pada tahun 1872, sebuah suruhanjaya antarabangsa yang dipimpin oleh Kaiser Wilhelm I dari Jerman memutuskan bahawa Pulau San Juan harus jatuh sepenuhnya di bawah penguasaan Amerika dan secara rasminya, pulau itu menjadi hak milik Amerika Syarikat. Maka, tamatlah pergaduhan antara mereka.
Pulau San Juan dijadikan sebagai taman bersejarah nasional
Hari ini, kedua-dua kem British dan Amerika yang ada di Pulau San Juan masih boleh dikunjungi di Taman Sejarah Nasional Pulau San Juan. Menariknya, taman nasional Amerika Syarikat ini akan mengibarkan bendera U.K manakala tiang bendera tu didirikan oleh British sebagai tanda persahabatan.
Sampai sekarang masih tiada lagi sebarang pergaduhan atau isu pelik berlaku di Pulau San Juan dan pulau itu telah menjadi sebuah tempat perlancongan.
BACA:
Ini punca sebenar harga durian di Malaysia turun mendadak selepas ini
Ini senarai aset ahli parlimen Malaysia, no.1 punya harta cecah RM75 juta!