Achey terpaksa bersuara kes pertelagahan Jep, Shuib dan Mamat Sepah

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Pelawak Achey berharap kemelut yang melanda anggota kumpulan Sepah, yang didakwa sedang menghadapi masalah, dapat diselesaikan dengan cara baik.

Tidak berpihak kepada sesiapa, Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 38, mahu melihat kesemua seniornya dalam bidang komedi itu kembali berdamai.

“Saya neutral, ketiga-tiga mereka itu saya sayang dan mereka sangat baik.

“Merekalah antara yang memberi tunjuk ajar pada awal kemunculan kumpulan Bocey, jadi saya sayang mereka.

“Cuma pesan saya, apa sahaja masalah yang berlaku, lebih baik diselesaikan dengan cara baik dan jangan diluahkan di media sosial,” katanya ketika dihubungi seperti yang dilapor mStar.

Achey terpaksa bersuara kes pertelagahan Jep, Shuib dan Mamat Sepah

Achey juga memberitahu dia mengetahui tentang berita tersebut melalui perdebatan peminat Sepah di media sosial.

Tambah Achey, kesemua mereka sudah matang dan berpengalaman luas dalam bidang seni dan berharap mereka semua bermaaf-maafan.

“Saya tahu dari media sosial, tapi kisah dalaman mereka saya tak tahu. Bukan nak menyibuk, saya hormat mereka sebagai senior dalam industri.

“Mereka pun dah besar, seeloknya jika ada masalah, bermaaf-maafanlah. Masing-masing dah tua, jadi profesional, telefon dan selesaikan dengan baik,” jelasnya.

Sementara itu, Achey memberitahu dia bersama ahli Bocey juga pernah mengalami pertengkaran besar ketika mereka bersama.

“Memang, kami pernah bergaduh besar, tapi jika ada masalah, kami akan hubungi antara satu sama lain. Kami tak cerita pada orang luar. Itulah jalinan luar biasa untuk Bocey,” ujarnya.

Sejak Isnin lalu, media sosial kecoh dengan perdebatan netizen mengenai ahli kumpulan Sepah, iaitu Jep, Shuib, dan Mamat, yang didakwa sudah tidak sehaluan.

Isu ini mula diperkatakan apabila Shuib dan Mamat berkongsi cerita mengenai penubuhan Sepah menerusi temu bual dalam Dol’s Podcast.

Bagaimanapun, pada Ahad lalu, Jep dalam satu hantaran di Instastory memuat naik mesej yang memberitahu bahawa cerita yang dikongsi dalam podcast kebanyakannya adalah rekaan atau ditokok tambah.

Rata-rata netizen mengandaikan hantaran tersebut ditujukan kepada Shuib dan Mamat yang bercerita tentang penubuhan Sepah.

BACA: “5 tahun aku kerja dekat Australia, bila balik je bini aku sarat mengandung 7 bulan, patutlah ini rupanya bini aku buat”