Perseteruan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim telah lama menjadi perhatian umum.
Meskipun mereka pernah berada dalam kerajaan yang sama pada tahun 2018, hubungan tersebut tidak bertahan lama.
Namun, di sebalik kisah politik ini, terdapat sisi menarik mengenai hubungan cinta antara Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah.
Tidak ramai yang tahu bahawa keluarga Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali memainkan peranan penting dalam menyatukan pasangan ini.
Kisah cinta mereka bermula dengan bantuan kakak kepada Tun Siti Hasmah, Allahyarham Datuk Paduka Saleha Mohd Ali.
Dalam edisi khas Majalah Keluarga tahun 2017, Tun Siti Hasmah mendedahkan bahawa Saleha menjadi orang tengah yang mempertemukan Anwar dan Wan Azizah.
Menurut Siti Hasmah, hubungan itu bermula ketika Anwar sering melawat suami Saleha, abang Zain, yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HBKL). Wan Azizah, seorang doktor di HBKL, turut menjaga Saleha dan suaminya.
“Azizah ibarat adik kepada saya, tetapi sebenarnya dia lebih rapat dengan kakak saya kerana kakak menjadi orang tengah antara Azizah dan Anwar. Anwar yang bersahabat baik dengan kakak saya sering melawat abang Zain di hospital. Di situlah dia melihat Azizah dan jatuh hati.
“Kemudian, kakak saya bersama Osman Awang mewakili Anwar meminang Azizah di rumah keluarganya,” kongsi Tun Siti Hasmah.
Pertemuan di HBKL itu akhirnya membawa kepada penyatuan Anwar dan Azizah dalam ikatan perkahwinan. Dalam edisi khas Majalah Keluarga sempena Hari Ibu pada tahun 2017, Siti Hasmah dan Wan Azizah turut digandingkan untuk berkongsi kisah inspirasi mereka sebagai wanita hebat di sisi pemimpin negara.
BACA: UiTM keluarkan ‘warning’ graduan jangan buat isyarat-isyarat di atas pentas ini sebabnya