Pelakon Ebby Yus, yang kini berusia 59 tahun dan menghidap penyakit kegagalan buah pinggang, mendedahkan
Bahawa tiga individu telah menawarkan diri untuk mendermakan buah pinggang kepada beliau.
Namun, semua tawaran tersebut ditolak kerana beliau tidak sampai hati menerima organ daripada individu yang masih mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga mereka.
Menurut Ebby, yang telah menderita penyakit ini sejak usia 20-an, beliau juga mungkin akan menolak tawaran derma daripada adik-beradik sendiri.
“Ada tiga orang nak dermakan buah pinggang, tetapi saya tolak. Saya tak sampai hati nak ambil organ orang lain sebab mereka juga ada anak dan isteri.
Kalau adik-beradik saya sendiri nak beri pun, mungkin saya tak terima. Lagi pun, kita tak tahu sejauh mana ia sesuai dengan tubuh kita,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Ebby, atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, berkata beliau menyerahkan segala-galanya kepada takdir Allah. “Kalau ada rezeki saya untuk kembali sihat, Alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin sudah tiba masanya,” ujarnya.
Pelakon itu kini menjalani rawatan dialisis di rumah sebanyak dua kali sehari, pagi dan petang, dengan setiap sesi mengambil masa sekitar 40 minit. Rawatan dialisis air dipilih kerana keadaan jantung beliau tidak mampu menampung prosedur dialisis darah. Dalam masa yang sama, beliau juga perlu mengehadkan pengambilan air harian kepada 800 mililiter, bergantung kepada kekerapan buang air kecil.
Meskipun berhadapan dengan cabaran kesihatan, Ebby tetap bersyukur.
“Berat badan saya sudah naik. Sebelum ini, berat saya turun hingga 59 kilogram, tetapi kini sudah meningkat kepada 64 kilogram. Selera makan saya juga semakin baik,” katanya.
Baru-baru ini, Ebby menerima kunjungan dan sumbangan daripada penyanyi Datuk Awie bersama pasukan Rumah Produksi Merah yang diketuai Datuk Eddy Amir Salim, sebagai tanda sokongan terhadap dirinya.
BACA:Bukan saja-saja taja, ini sebab kenapa 4 syarikat swasta taja PMX ke luar negara