Exco Selangor dedah cara warga asing boleh dapat lesen meniaga

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Kerajaan Negeri Selangor mungkin akan menggubal undang-undang baru berkaitan pemberian lesen perniagaan

kepada warga tempatan yang berkahwin dengan warga asing bagi mengelakkan manipulasi lesen.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, berkata

pihaknya menyedari wujudnya isu ini di negeri tersebut yang menyebabkan kesukaran dalam penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Memang wujud di lapangan, ramai warga asing yang telah lama tinggal di Malaysia.

Exco Selangor dedah cara warga asing boleh dapat lesen meniaga

Ada warga tempatan yang tertarik dengan warga asing dan mereka berkahwin. Ada yang menggunakan peluang perkahwinan ini untuk berniaga, dan ini mungkin cinta sejati,” jelasnya.

Namun, beliau turut mengakui terdapat segelintir individu yang manipulasi perkahwinan mereka semata-mata untuk memperoleh lesen perniagaan. “Ada juga yang bukan cinta sejati, tetapi hanya mencari peluang dengan menggunakan perkahwinan ini untuk berniaga,” katanya.

Ng Suee Lim juga menambah, kadangkala ia sukar untuk dilakukan penguatkuasaan kerana apabila pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan, nama isteri yang tercatat di premis adalah warga tempatan, tetapi di sebaliknya, suaminya adalah warga asing. Kejadian seperti ini sering berlaku, katanya.

Beliau mengulas soalan tambahan daripada Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi (PH-Seri Serdang), yang bertanya sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menggubal enakmen bagi menangani isu warga asing yang berkahwin dengan warga tempatan untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Sehubungan itu, Ng berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan untuk mencari pendekatan yang lebih holistik bagi menangani masalah ini.

“Keperluan untuk menggubal dasar ini memang ada. Kita perlu duduk berbincang semula mengenai bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini,” ujarnya.

BACA: Bukan sambal bilis biasa, ini resepi sambal bilis bunga kantan pasti terangkat bila makan dengan bubur panas