Fattah Amin dilantik sebagai ketua pegawai pemasaran Pak Mat Western

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Populariti pelakon Fattah Amin terus melonjak selepas perceraian dengan Fazura pada 7 Oktober lalu.

Terbaru, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) untuk sebuah jenama terkenal

Produk makanan daging kambing perap, Pak Mat Western.

Peranan Baharu Sebagai Ketua Pegawai Pemasaran

Pelantikan ini meletakkan bintang Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebagai tokoh korporat yang bertanggungjawab merangka strategi promosi bagi jenama besar tersebut.

Fattah Amin dilantik sebagai ketua pegawai pemasaran Pak Mat Western

Pengarah Urusan Pak Mat Western, Nor Qaiyum Muhamad, mengesahkan pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai 20 November 2024.

“Fattah Amin kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Pemasaran. Beliau akan bertanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan strategi pembangunan, perkembangan, serta kemajuan pemasaran melalui media massa dan media sosial.

“Saya percaya pelantikan ini mampu membawa pembaharuan dalam sistem perniagaan yang lebih efektif dan efisien,” kata Nor Qaiyum.

Kejayaan Sebelum Ini

Sebelum dilantik sebagai CMO, Fattah pernah menjadi artis jemputan untuk menjual produk daging kambing perap jenama tersebut. Kempen itu berjaya menghasilkan jualan hampir 10,000 set.

Fattah, 34, turut mencetuskan fenomena menerusi siaran langsung di TikTok yang berjaya menarik lebih 100,000 penonton dan meraih 44 juta tanda suka (likes).

Sebagai langkah kebajikan, Fattah juga meminta pihak pengurusan jenama itu untuk mengagihkan wang komisen bernilai RM90,000 kepada golongan memerlukan.

Sekilas Tentang Kehidupan Peribadi

Fattah dan Fazura berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.

Pelantikan ini menandakan langkah baharu dalam perjalanan kerjaya Fattah yang kini turut menyerlah di dunia korporat.

BACA: Terengganu tunggu kelulusan kementerian kewangan sebelum umum bonus, netizen sindir kalau tak lulus nanti salah kerajaan