Baru-baru ini, seorang ejen takaful berkongsi bahawa pelanggannya, pelakon popular Fattah Amin, bertemu dengannya
untuk menukar penama hibah takaful kepada ibunya agar harta tersebut dapat diagihkan kepada anaknya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai netizen kerana melibatkan seorang selebriti terkenal.
Namun, timbul isu apabila ada pihak mendakwa ejen tersebut telah mendedahkan maklumat sulit hanya kerana pelanggannya seorang pelakon.
Menyedari hal ini, pempengaruh takaful, Papayen, tampil memberi penjelasan.
Menurut Papayen, tidak menjadi masalah jika maklumat yang dikongsikan bersifat asas, seperti kemas kini alamat, ulasan sijil, peningkatan atau penurunan manfaat, dan kemas kini penama hibah untuk tujuan kesedaran.
Walau bagaimanapun, maklumat peribadi seperti jumlah hibah, perubahan nama tertentu, info kewangan, nombor akaun bank, nombor kad pengenalan, dan hal-hal peribadi lain seperti status perkahwinan adalah tidak dibenarkan untuk didedahkan.
Papayen juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh ejen takaful tersebut ‘menunggang’ cerita Fattah Amin untuk kepentingan sendiri.
Papayen menegaskan bahawa meskipun pelanggan memberi kebenaran, tindakan itu tetap salah.
“Satu Malaysia sudah tahu dia menukar penama kepada ibunya, jadi ambil sudut positif sebagai langkah berjaga-jaga dan ilmu sahaja,” katanya.
“Pertama, boleh berkongsi secara umum, tetapi butiran terperinci tetap dirahsiakan. Tujuan utama adalah kesedaran untuk membantu semua orang, bukan untuk membuka aib sesiapa.
Ramai selebriti, influencer, dan artis memiliki takaful, tetapi adakah kita tahu penama hibah mereka, jumlah caruman, atau jumlah manfaat? Tidak.”
Papayen juga menjelaskan bahawa jika pelanggan itu sendiri berkongsi maklumat kepada umum, itu adalah haknya.
“Kedua, penama hibah tidak semestinya kekal. Menambah atau mengeluarkan sesiapa pun percuma sahaja,” tambahnya.
Papayen turut memberi pesanan kepada orang ramai yang mempunyai takaful agar sentiasa peka dan mengemas kini penama jika berlaku perubahan dalam hidup untuk mengelakkan sebarang masalah apabila pemegang sijil takaful meninggal dunia.
BACA: Wanita Singapura dipenjara, padah cuba rasuah RM50, disangka polis Malaysia