Pelakon dan penyanyi, Nur Fazura nampaknya berjaya menebus kekecewaan peminat
selepas dikecam hebat awal bulan lalu gara-gara nyanyiannya yang dianggap sumbang.
Membuktikan kemampuannya, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin itu memuat naik satu rakaman video
nyanyiannya bersama penyanyi Indonesia, Kalya Islamadina di akaun Instagram miliknya.
Dalam rakaman tersebut, Fazura dan Kayla menyanyikan lagu berbahasa Inggeris yang berjudul Make You Feel Me My Love nyanyian asal Adele khusus buat rancangan After Office Jamming.
Fazura menerusi ruangan kapsyen memberitahu bahawa lagu tersebut sememangnya sangat bermakna kerana ia sering didendangkan kepada anak tunggalnya, Fatima Aisya.
“Fazura dan Kalya mencurahkan isi hati mereka ke dalam nyanyian lagu Adele, Make You Feel My Love. Apa yang menjadikan persembahan ini lebih istimewa adalah lagu tersebut mempunyai makna yang mendalam buat Fazura.
“Lagu ini sering dinyanyikan Fazura sebagai penghantar tidur buat anaknya. Lirik ‘to make you feel my love’ adalah janji tulusnya untuk sentiasa berada di sisi anaknya,” katanya di ruangan kapsyen.
Rakaman tersebut telah berjaya menarik perhatian ramai apabila Fazura berjaya mendendangkan lagu itu dengan baik malah kemerduan suaranya saat mengalunkan lirik bahasa Inggeris turut dipuji.
Rakan-rakan selebriti termasuk Puteri Sarah Liyana, Azza Elite, Dr Malar dan Muhammad Sajat turut memberikan reaksi yang positif selain meninggalkan emoji hati di ruangan komen.
“Itu sebab saya cakap beri peluang. Gagal sekali tidak semestinya gagal selamanya. Go Faz,” kata pengarah terkenal, Along Kamaluddin memberikan semangat kepada Fazura.
“Mungkin kekuatan Fazura adalah menyanyikan lagu berbahasa Inggeris.” Kongsi pengguna media sosial yang tidak menafikan bakat pelakon filem Pisau Cukur itu dalam bidang nyanyian.
Terdahulu, Fazura tampil membuat kemunculan pertamanya selepas hampir sebulan bercerai dengan bekas suami, Fattah Amin dalam sebuah program temu bual di Indonesia.
Penyanyi berusia 40 tahun itu juga berkesempatan untuk menyumbangkan nyanyian lagu yang berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’ dipercayai di dalam rangka mempromosikan karya terbaharunya di negara tersebut.
Walau bagaimanapun, persembahan itu tidak mendapat sambutan baik dalam kalangan pengguna media sosial tempatan yang mengkritik nyanyian Fazura ekoran vokal penyanyi terbabit didakwa kurang baik.
Peminat sebelum ini dikejutkan dengan pelancaran lagu duet baharu nyanyian Fazura dan Fattah Amin ketika kes penceraian mereka masih menjadi topik perbincangan hangat pada bulan lalu.
Lagu yang mendapat sentuhan komposer tempatan iaitu Ippo Hafiz itu dikhabarkan sudah lama dirakamkan ketika kedua-dua pelakon berkenaan masih bergelar pasangan suami isteri.
Pelancaran lagu baharu tersebut diumumkan oleh pihak syarikat rakaman daripada Indonesia menerusi satu hantaran di akaun media sosial Instagram rasmi mereka, @hits_records.
Baca juga ‘Rupanya ini yang abang buat sampai abah menangis, pertama kali abah angkat tangan’