Minta wang tebusan RM20 juta ,suri rumah didakwa bersubahat culik suami sendiri

Oleh ZAKARIA HAMZAH

Seorang suri rumah berusia 57 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru atas dakwaan bersubahat

Dengan menculik suaminya yang juga seorang ahli perniagaan.

Tertuduh, Chan Wan Kooi, hanya menganggukkan kepala selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin

oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hazeelia Muhammad pada Ahad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Minta wang tebusan RM20 juta ,suri rumah didakwa bersubahat culik suami sendiri

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan subahat jenayah dengan Chong Shih Ming, 46, bersama warga Vietnam Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29, melakukan kesalahan menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan niat untuk menuntut wang tebusan RM20 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Straits View sekitar pukul 5 pagi, 13 Oktober lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kohar dan Nor Maisarah Hassan, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah peguam pemerhati Fairoz Elyas Majeed dan Ng Kian Pin.

Dalam prosiding itu, Umar Faiz membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh kerana kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi termasuk soal jaminan.

Bagaimanapun, Jagjit Singh memohon ikat jamin atas alasan anak guamnya telah pun ditahan reman untuk tempoh yang lama dan tertuduh sedang menjalani rawatan setiap hari untuk penyakit jantungnya.

“Tertuduh mempunyai tiga anak berusia antara 28 hingga 36 tahun dan empat cucu berusia empat hingga sembilan tahun. Dia menjaga semua cucunya.

“Anak guam saya kerap menjalani pemeriksaan kesihatannya. Difahamkan tertuduh juga merupakan pengarah dua syarikat dan beralamat tetap di Johor Baru. Tiada risiko dia melarikan diri.

“Dia juga sanggup menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan kepada balai polis jika perlu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menolak permohonan pihak pembelaan, dan tiada jaminan diberikan.

Sebutan semula kes itu dijadualkan pada 17 November.

Untuk rekod, tiga lagi tertuduh iaitu Shih Ming, Van Tung dan Van Chung pernah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan itu pada 4 November lalu.

Shih Ming mengaku tidak bersalah menculik ahli perniagaan itu dengan tujuan menuntut wang tebusan berjumlah RM20 juta.

Dua warga Vietnam itu pula tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan dalam bahasa Malaysia.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

BACA: Lelaki usia 53 tahun tergamak 3 tahun simpan mayat ibu sendiri dalam peti ais