Seorang wanita berkongsi di TikTok bahawa kehidupannya berubah sepenuhnya pada Ramadan 2024 selepas disahkan menghidap kanser lidah.
Kanser lidah adalah sejenis kanser mulut yang berkembang di sel skuamosa pada permukaan lidah,
Dan boleh menyebabkan pembentukan tumor atau luka. Dalam perkongsiannya,
Isyida menjelaskan bahawa salah satu tanda utama kanser lidah adalah kewujudan ulser pada lidah.
Dia menambah, tanda lain ialah ulser tersebut mengambil masa yang lama untuk sembuh, iaitu lebih dari dua minggu.
“Jika ada ulser di lidah lebih daripada dua minggu di tempat yang sama, atau ulser itu datang dan pergi di lokasi yang sama, segera berjumpa dengan doktor. Jangan abaikan! Bahaya,” nasihatnya.
Kanser lidah yang dialaminya menyebabkan lidahnya terpaksa dipotong, dan pembedahan itu memakan masa 16 jam.
“Pembedahan panjang kerana saya ditidurkan lebih dari 24 jam. Kemudian, dimulakan dengan pembedahan leher untuk memasang trakeostomi, diikuti dengan pembedahan membuang 70% lidah dan nodus limfa hingga tahap 5.
“Seterusnya, pembedahan free flap dilakukan, di mana tisu dan urat dari tangan diambil untuk menggantikan lidah. Kemudian, pembedahan di paha dilakukan untuk menggantikan kulit tangan. Akhir sekali, pembedahan untuk memasang tiub pemakanan,” jelasnya.
Lebih memilukan, dia turut kehilangan ibunya ketika masih berada di hospital dan tidak sempat pulang untuk melihat wajah ibunya buat kali terakhir.
Perkongsian Isyida itu mendapat banyak komen positif daripada warganet yang mendoakan agar dia diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
“Semoga dipermudahkan segala urusan puan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terima kasih atas perkongsian ini kerana secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran tentang kanser lidah/mulut,” tulis seorang pengguna TikTok.
BACA: Teruk dikecam pakar motivasi dan netizen, akhirnya pengusaha donut berayaq terima teguran