Seorang pengusaha donat susu yang menggunakan teknik pemasaran keterlaluan dengan tagline ‘berayaq’
Dia menerima kecaman hebat daripada warganet kerana menampilkan aksi yang tidak sopan dalam promosinya.
Lebih memburukkan keadaan, sebuah video tular menunjukkan peniaga tersebut menyebut perkataan ‘cirit’
sambil membuat gerakan yang dianggap tidak senonoh semasa mempromosikan produknya.
Akibat kontroversi tersebut, peniaga berkenaan akhirnya tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa penggunaan perkataan ‘cirit’ dalam video tersebut adalah atas arahan pihak lain.
“Kami terima semua teguran daripada kalian. Untuk makluman, tagline ‘berayaq’ bermaksud doh kami yang lembut dan cair. Bila makan donat, ia cair dalam mulut.
“Perkataan ‘cirit’ bukan tagline daripada kami, dan video yang tular itu bukan idea asal kami. Kami hanya melakonkan arahan yang diberikan,” jelas peniaga tersebut dalam kenyataan di TikTok.
Dia turut berjanji untuk memperbaiki kelemahan dan memohon maaf jika ada pihak yang tersalah tafsir videonya.
“Kami minta maaf jika video kami menyinggung perasaan… ikhlas daripada kami, hanya Allah yang memberikan rezeki. Kami maafkan semua komen negatif, insya-Allah kami akan perbaiki kelemahan,” tambahnya.
Selain permohonan maaf, peniaga tersebut juga menukar nama akaun TikTok daripada ‘berayaq’ donat susu kepada ‘bertanah’ donat susu.
Laporan mStar sebelum ini menyatakan kebimbangan orang ramai terhadap teknik pemasaran tersebut kerana dikhuatiri memberi kesan buruk, khususnya kepada golongan muda.
Dalam video tular itu, peniaga lelaki tersebut memegang patung beruang sambil melakukan gerakan tidak senonoh seperti sedang berhubungan intim, sambil menyebut, “berayaq, berayaq, jet lagi, jet lagi” diikuti gelak ketawa dan disergah individu lain yang dipercayai rakan peniaga.
Satu lagi video menunjukkan peniaga itu bersama seorang wanita menyebut, “Ermmm cirit… lepaskan, lepaskan” sambil melakukan gerakan menonggeng yang dianggap tidak sopan.
Tindakan ini dikritik sebagai tidak sesuai dan keterlaluan, terutama dalam mempromosikan makanan. Kesan negatifnya jelas apabila aksi peniaga tersebut ditiru oleh golongan muda, termasuk seorang remaja lelaki yang meniru aksi itu semasa menjual buah-buahan di pasar sambil menyebut “jet lagi… jet lagi”.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil maklum mengenai akaun dan video tersebut dan akan menjalankan siasatan lanjut.
BACA: Lepas berangan beli menara TRX dan jadi PM, Andika Putera tubuh persatuan ‘Old Money’