Skandal Perwaja Steel tiga dekad lalu yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit menjadi punca ketegangan antara
Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, dan timbalannya, Anwar Ibrahim, menurut sebuah buku yang akan diterbitkan.
Menurut wartawan Leslie Lopez dalam bukunya The Siege Within yang akan diterbitkan pada 26 Februari,
Hubungan mereka mula retak selepas akhbar Asian Wall Street Journal (AWSJ) menerbitkan laporan mengenai
kerugian besar yang dialami kilang besi Perwaja dengan tajuk ‘Steel Fiasco May Rattle Malaysian Government’.
Pada 9 Februari 1996, Anwar masuk ke pejabat Mahathir dalam keadaan marah sambil membawa salinan laporan AWSJ. Beliau mengingatkan Mahathir bahawa kerajaan tidak boleh menyembunyikan skandal itu.
Namun, Mahathir menjawab dengan nada marah dan menuduh Anwar sebagai pihak yang membocorkan maklumat tersebut kepada media. Anwar kemudian menafikan dakwaan itu dalam perbincangan yang berlaku dua bulan selepas konfrontasi tersebut, menurut Lopez.
Selepas pendedahan AWSJ, Mahathir diyakinkan oleh beberapa kroni perniagaan dan politiknya bahawa Anwar, yang sebelum ini dilihat sebagai pewaris Mahathir, telah menjadi ancaman. Menurut Lopez, ini menyebabkan Mahathir mula memandang Anwar sebagai pesaing yang perlu dijatuhkan.
Perwaja Steel, ditubuhkan pada 1982 sebagai sebahagian daripada dasar perindustrian Mahathir, mengalami kerugian besar, yang pada mulanya berjumlah USD$1 bilion (RM2.5 bilion pada waktu itu).
Mahathir melantik ahli perniagaan Eric Chia sebagai pengarah urusan, tetapi kerugian Perwaja terus meningkat kepada USD2.5 bilion (RM6.25 bilion) menjelang 1995.
Pada 2002, Mahathir mengakui bahawa kejatuhan Perwaja berpunca daripada salah tadbir urus dan penipuan. Eric Chia kemudian didakwa atas tuduhan pecah amanah pada 2004 tetapi dibebaskan tiga tahun kemudian.
Lopez turut menyatakan bahawa Anwar dilihat sebagai tokoh politik yang bergerak dalam hala yang bertentangan dengan dasar perniagaan dan politik Mahathir, yang sering digelar sebagai ‘Malaysia Inc.’. Anwar menjadi ancaman kepada rangkaian politik dan ekonomi yang Mahathir bangunkan, terutamanya apabila Anwar membantah penggunaan dana awam untuk menyelamatkan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan dengan Mahathir semasa krisis kewangan Asia pada 1997.
Lopez menulis, untuk mengekalkan sistem politik dan ekonomi yang dicipta oleh Mahathir, Anwar perlu dijatuhkan dengan apa cara sekalipun.
Akhirnya, Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan disingkirkan dari Umno pada 2 September 1998. Beliau kemudiannya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum disabitkan dengan tuduhan rasuah.
BACA: “Aku rasa macam kena nasi kangkang dengan keluarga mentua, semua harap aku bayar sedangkan..