Seorang wanita merasa sangat kecewa dengan sikap suaminya yang terlalu berkira meskipun mereka sudah mendirikan rumah tangga selama lapan tahun.
Lebih memburukkan keadaan, sikap berkira suaminya itu tidak hanya terhad
kepada perbelanjaan rumah tangga atau anak-anak sahaja tetapi termasuklah kos ‘luaran’.
Bayangkan, lelaki berkenaan juga tergamak membahagi dua bayaran goreng pisang dengan isterinya meskipun hidangan itu bakal dimakan di rumah ibu bapanya sendiri.
Itulah kenyataan perit yang harus diterima insan bergelar isteri sepanjang berumah tangga sehingga membuatkan wanita itu meluahkan perasaannya di media sosial.
“Saya sedih sangat. Sudah mendirikan rumah tangga lapan tahun tetapi sepanjang perkahwinan, kebanyakkan perbelanjaan perlu dibahagi dua termasuklah kos anak.
“Kos itu suami bahagi dua walaupun sekadar nak beli goreng pisang berharga RM6. Sedangkan beli sebab nak makan dekat rumah ibu bapa dia sendiri. Dia bayarkan dahulu dan minta beli gaji saya keluar,” akui wanita itu.
Perkongsian itu dibuat oleh isteri terbabit tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Menurut sang isteri, suaminya akan merekod setiap perbelanjaan sebelum membuat ‘tuntutan’ apabila gaji wanita itu sudah keluar meskipun pendapatannya lebih tinggi.
“Ketika itu, suami akan berikan senarai pembelian yang dia sudah bayarkan dahulu. Sampai macam itu sekali tahap berkira suami saya ini. Padahal gaji dia lagi banyak daripada saya. Perbezaan nak dekat RM2,000.
“Kalau tanya suami kenapa kos remeh macam ini pun saya kena bayar juga, dia akan cakap sebab nafkah sudah diberikan. Logik ke? Nafkah yang dia berikan pun hanya RM400 sahaja. Saya hanya guna untuk anak.” Kesalnya.
Baca juga:Tak sangka! Ini topik perbincangan antara Anwar Ibrahim dan Khabib ramai nak tahu