Pengurus kepada pelakon Nur Fazura, Iman Tang, tampil menjelaskan spekulasi netizen mengenai tindakan aktres itu
Dia membawa lima pengawal peribadi ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Subang Bestari, Selangor, pada hari Rabu.
Pengurus Fazura iaitu Nur Iman Tang, 49, menjelaskan bahawa tindakan tersebut adalah untuk
memastikan keselamatan aktres itu terjamin serta mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku.
“Ini adalah kebiasaan Fazura apabila pergi ke mana-mana majlis; dia akan mengupah pengawal peribadi.
Sebagai pihak pengurusan, kami membenarkan permintaan itu kerana pernah ada kejadian di mana orang kurang sopan datang untuk bergambar tetapi mengambil kesempatan,” katanya.
Iman juga mendedahkan bahawa Fazura pernah pergi ke Mahkamah Tinggi tanpa pengawal peribadi, dan keadaan menjadi tidak terkawal apabila dia dikasari oleh peminat.
Tambah Iman, langkah ini juga diambil sebagai persediaan memandangkan mereka tidak mengetahui keadaan di mahkamah pada hari tersebut.
“Seperti semalam, kami tidak tahu keadaan di mahkamah seperti apa kerana kemungkinan ramai yang datang, termasuk peminat. Saya hanya berpesan kepada pengawal peribadi supaya tidak berkasar dengan rakan media,” tambahnya.
Sementara itu, Iman menegaskan bahawa pihaknya enggan mengambil peduli tentang apa yang dibahaskan oleh netizen di media sosial, kerana mereka tidak tahu apa yang dilalui oleh aktres itu.
“Bagi saya, perkara ini tidak menjadi isu. Kadang-kadang kita tidak boleh terlalu mengambil peduli tentang apa yang netizen katakan.
Bila ada sesuatu yang berlaku, mereka akan bertanya kenapa Fazura tidak bawa pengawal peribadi, dan bila dia bawa lima orang, mereka juga persoalkan,” jelasnya.