Wanita yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, itulah peribahasa yang tepat menggambarkan keberanian seorang wanita
yang kini tular kerana bertugas di puncak bangunan kesembilan tertinggi di dunia, KLCC.
Normalia Sidek atau lebih dikenali sebagai Maya, seorang Rope Access Technician (juruteknik akses tali) dan juga Non-Destructive Testing (NDT) technician,
menunjukkan jiwa besar dan keberanian luar biasa dalam melaksanakan pekerjaan yang mencabar, apatah lagi sebagai seorang wanita.
Semuanya bermula selepas video menunjukkan Maya bertugas di puncak bangunan 88 tingkat yang juga dikenali sebagai KLCC tular.
Sempena ulang tahun ke-25 menara tersebut, ibu kepada seorang anak itu berkongsi pengalamannya melalui laman sosial TikTok.
“Petronas Twin Tower sangat bermakna bagi saya. Ia adalah salah satu item dalam senarai impian saya,” kongsinya.
Tidak ramai yang berpeluang berada di puncak dan menakluk aras tertinggi KLCC. Oleh itu, Maya berkongsi bahawa pemandangan dari ketinggian 1,483 kaki tersebut sangat mengagumkan.
“Saya bersyukur terpilih berada dalam pasukan yang hebat. Berada di atas sana buat seketika memberikan rasa seperti healing.
“Saya sangat bersyukur kerana pemandangannya begitu indah, memperlihatkan keindahan dunia di bumi ini,” katanya.
Maya juga berkongsi bahawa menjalankan tugas di ketinggian yang begitu tinggi bukanlah perkara mudah dan ia melibatkan risiko besar.
Kekuatan mental dan fizikal perlu dipersiapkan bagi kelancaran tugas, di samping sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan walaupun dilengkapi dengan alat keselamatan.
“Sebagai rope technician, kita perlu mempersiapkan kekuatan mental dan fizikal. Mental perlu kuat kerana di atas sana banyak perkara boleh berlaku.
“Percayalah pada setiap pergerakan anda. Sesiapa saja boleh menjadi apa sahaja,” katanya.
Tidak ramai yang berpeluang menakluk puncak KLCC, dan tugas Maya menukar lampu pada mercu kedua tertinggi di Malaysia menjadi kebanggaan buat dirinya.
“Saya sangat bangga dengan kejayaan pasukan saya kerana kami dapat menyumbang hasil kerja kami untuk Malaysia.
“Setiap kali saya melihat KLCC, yang kini lampunya boleh bertukar-tukar warna, saya akan teringat memori memasang sistem tersebut di sana.
“Saya katakan kepada anak saya, tengok lampu itu, ibu yang pasang,” ujar Maya.
Maya kemudian menceburi bidang ini dengan mengambil kursus kemahiran untuk mendalami lebih lanjut tentang pekerjaan mencabar ini.
“Siapa sangka, daripada hobi akhirnya menjadi kerjaya utama saya kini. Sebelum itu, saya terlibat dalam bidang butik fesyen.
“Kemudian, saya beralih menjadi Juruteknik Akses Tali sebelum beralih ke portfolio Juruteknik NDT,” kongsinya, yang telah memulakan kerjaya mencabar ini sejak tahun 2018 sehingga sekarang.
Maya juga bercita-cita untuk menakluk puncak Burj Khalifa di Dubai suatu hari nanti. Beliau mengakui selain daripada sukakan cabaran mental dan fizikal, gaji yang ditawarkan juga antara faktor yang mendorongnya memilih bidang tersebut.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio