Bermula dari pasar malam, ini liku kejayaan pengasas ‘handbag’ jenama tempatan Christy Ng

Oleh SURIANI HAMDAN

Christy Ng, seorang wanita kelahiran kampung di Kluang, Johor, telah membuktikan bahawa impian boleh dicapai tanpa mengira latar belakang keluarga.

Dengan pemikiran yang luar biasa dan tekad yang kuat, beliau kini dikenali sebagai figura di sebalik jenama beg dan kasut terkenal di Malaysia.

Dengan lebih daripada 10 tahun pengalaman, Christy Ng memimpin 11 cawangan di seluruh Malaysia.

Jenama yang menggunakan namanya terkenal dengan rekaan kasut dan beg yang unik, sesuai untuk pelbagai aktiviti harian dan ke tempat kerja

Produk-produknya bukan sahaja dijual di kedai fizikal, tetapi juga melalui platform atas talian, memudahkan akses pelanggan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Bermula dari pasar malam, ini liku kejayaan pengasas 'handbag' jenama tempatan Christy Ng

“Saya berasal dari kampung di Kluang, Johor. Selama ini ramai yang menyangka saya dari keluarga yang kaya dan urban. Tanggapan itu salah.

Kami makan dengan tangan sahaja. Bapa saya bekerja sebagai tukang cuci aircond. Kami bukan keluarga senang; duit tidak jatuh dari langit. Saya anak sulung dari dua adik-beradik,” kongsinya.

Christy Ng mula mengejar impian perniagaannya sejak usia sangat muda, dengan memulakan perniagaan pertamanya pada usia 9 tahun dengan menjual bunga di stesen LRT.

Keberanian dan semangat usahanya telah membawa kejayaan. Setelah tamat sekolah, beliau terus bekerja sambilan untuk menyimpan setiap sen sebagai modal perniagaannya.

Perjalanan Christy Ng dalam dunia perniagaan tidak mudah. Beliau memulakan langkahnya dengan modal serendah RM10,000 tanpa bantuan, memulakan perniagaan dengan menjual kasut di pasar malam.

Namun, impian besar Christy Ng tidak terhenti di situ. Dia menerima cadangan daripada seorang rakan untuk membina jenama sendiri, membezakan dirinya dengan ciri unik. Inilah langkah awalnya untuk memahami lebih mendalam cara perniagaan kasut dan beg.

Christy Ng terus mengembangkan perniagaannya dengan membina rangkaian kilang dari Thailand dan China setelah mengenal banyak kilang semasa berniaga di pasar malam.

Secara perlahan-lahan, beliau melangkah maju untuk menjadi pengasas jenama yang berjaya. Beliau mengakui banyak kesilapan yang dilakukan sepanjang 10 tahun berniaga, dengan pengajaran utama bahawa kepuasan pelanggan adalah kunci kejayaan perniagaan.

Melalui ketekunan, ketabahan, dan kemahuan untuk belajar, Christy Ng membuktikan bahawa impian boleh direalisasikan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang atau status sosial.

BACA: “Dapat suami berat tulang pun satu beban, hari-hari aku dilayan macam orang gaji”