Permudah urusan rakyat, kerajaan perkenal akta kurangkan kerenah birokrasi pejabat kerajaan

Oleh ANITA ABD RAHMAN

Rafizi berkata, komitmen kerajaan untuk mengurangkan peraturan akan menjadi yang pertama bagi negara ini.

Kerajaan akan membentangkan Akta Komitmen Kecekapan Kerajaan pada penghujung tahun ini untuk mengurangkan kerenah birokrasi, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi menyatakan bahawa ini merupakan langkah pertama yang penting untuk menguruskan peraturan di negara ini.

“(Akta) ini akan mengikat agensi dan kementerian untuk memastikan, contohnya, bagi setiap satu peraturan yang diperkenalkan,

satu peraturan lain akan dikeluarkan,” katanya ketika berucap pada pelancaran laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) hari ini.

Permudah urusan rakyat, kerajaan perkenal akta kurangkan kerenah birokrasi pejabat kerajaan

Beliau menambah, undang-undang sedemikian adalah amalan biasa di negara lain dan amat diperlukan di Malaysia sebagai tonggak kepada pembangunan usahawan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

Pada masa ini, mereka yang ingin memulakan perniagaan sendiri perlu melalui empat atau lima agensi terlebih dahulu, yang kesemuanya mempunyai prosedur panjang tersendiri, katanya.

Menurutnya lagi, Kementerian Ekonomi telah mengambil masa setahun untuk mengusahakan undang-undang tersebut, yang telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara dua kali setakat ini.

“Keputusan kerajaan ialah komitmen untuk mempermudah perniagaan kita.

“Kita akan mengambil langkah melalui satu akta, dan akta ini akan memberikan garis panduan atau parameter kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk mengurangkan kerenah birokrasi. Ia lebih kurang selari dengan satu akta yang telah diperkenalkan tahun lepas iaitu Akta Kebertanggungjawaban Fiskal,” katanya.

Dalam sidang media selepas acara tersebut, Rafizi memberitahu pemberita bahawa kementeriannya telah menyiapkan Rangka Tindakan Negara Menua.

Menurutnya, ia akan menjadi fokus utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13.

“Kementerian Ekonomi telah pun menyiapkan keseluruhan laporan dan pelan tindakan yang dibangunkan bersama-sama dengan Bank Dunia.

“Ia akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada bulan November 2024 dan akan menjadi salah satu daripada tumpuan utama dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Beliau menambah, selepas perbincangan di peringkat kerajaan, pelan tindakan tersebut akan dibentangkan kepada umum.

BACA: Nyanyian pelancong Jepun undang reaksi orang ramai “Dia punya ‘feel’ tu nampak sangat memang peminat Wings”