Zainal Abidin nasihat penganjur festival muzik “Dalam berhibur, kena ingat batasan agama”

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Jika dilihat konsert yang diadakan di Malaysia sudah seperti berada di luar negara, pakaian artis menjolok mata, lelaki dan perempuan bebas bergaul atas tiket hiburan.

Sedangkan majoriti rakyat di negara adalah orang Melayu dan dibesarkan dengan cara hidup lebih Islamik.

Disebabkan itu penyanyi veteran, Datuk Zainal Abidin meminta agar penganjur acara festival muzik untuk menitikberatkan batasan agama dalam penganjuran acara hiburan.

Antara yang perlu dititikberat bagi Zainal adalah pergaulan bebas sesama lelaki dan perempuan lapor Harian Metro.

“Sebenarnya, penganjuran festival muzik sebegini terbaik untuk industri. Tetapi, landasan agama kita harus praktikkan di mana kita tak boleh melanggar landasan yang ditetapkan.

Zainal Abidin nasihat penganjur festival muzik “Dalam berhibur, kena ingat batasan agama”

“Negara kita adalah negara Islam (agama rasmi), menitikberatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan, cara berpakaian.

“Kata-kata yang dikeluarkan ketika di atas pentas, ia haruslah ditapis dan diperbaiki untuk mereka yang menonton.

“Dalam berhibur, kena ingat batasan agama sebab kita orang Islam. Batasan-batasan syariah itu harus dipraktikkan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Baginya, ia adalah tanggungjawabnya sebagai penghibur untuk menegur perkara sedemikian kerana akan turut disoal di akhirat kelak.

“Ini tanggungjawab kita sebab kita nak kena jawab juga di akhirat nanti. Lelaki perempuan berpelukan sesama bukan mahram.

“Saya yang menyanyi, saya yang menggalakkan, saya bertanggungjawab nanti. Saya harap, penganjur akan peka mengenai perkara ini.

“Ada banyak artis baharu yang saya tak kenal. Dari segi pemakaian, kadang sakit mata juga. Ia tak salah pada diri mereka, tapi salah daripada sudut agama kita.

“Itu harus diperbetulkan agar tidak keterlaluan,” katanya.

Baca juga: Pengawal keselamatan jumpa beg berisi wang tunai RM500,000 di parking mall di Damansara