‘Jangan percaya bulat-bulat’ Iqram dedah perangai sebenar Shuk Sahar

Oleh JUNAIDA MAHUSIN

Pelakon Iqram Dinzly tampil mempertahankan Shuk Sahar dan mendedahkan sikap sebenar pelawak tersebut yang dikatakan seorang yang sangat kuat bekerja.

Menurut Iqram atau Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, Shuk merupakan seorang yang rajin dan sering membantu rakan-rakannya dalam urusan perniagaan.

“Sepanjang saya berniaga bersama Shuk di booth yang dikongsi, saya melihat beliau berusaha keras dalam berniaga tanpa mengira masa dan tenaga.

Dia juga ringan tangan dalam membantu rakan-rakannya dengan menjual dan mengajar teknik perniagaan.

Iqram berkongsi pandangannya melalui satu hantaran di Instagram miliknya.

'Jangan percaya bulat-bulat' Iqram dedah perangai sebenar Shuk Sahar

“Saya tidak katakan Shuk itu malaikat, tetapi apa yang boleh saya katakan adalah Shuk bekerja keras untuk membangkitkan dirinya dengan usaha dan dedikasi,” katanya.

Iqram berkongsi pandangannya melalui satu hantaran di Instagram miliknya.

Dalam masa yang sama, Iqram meluahkan rasa simpati apabila mengetahui mengenai pergolakan rumah tangga antara Shuk dan isterinya, Fara Salleh.

Iqram juga menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai kata-kata dari satu pihak sahaja.

“Dengan rasa simpati terhadap sahabat saya Shuk, mohon jangan bulat-bulat percaya apa yang dinyatakan oleh pasangannya dengan kata-kata yang mencurigakan.

“Memang manusia tidak lari daripada membuat kesilapan, tetapi perlu diingatkan juga untuk berhati-hati dengan wanita akhir zaman. Apabila emosi dipengaruhi syaitan, perkara kecil boleh dibesar-besarkan.

“Oleh itu, apa yang mereka lalui sekarang adalah ujian dan dugaan sebelum Allah mengangkat darjat mereka lebih tinggi.

“Mohon masyarakat doakan agar Shuk dan pasangannya diberikan perlindungan daripada fitnah serta mendapat reda dan rahmat Allah dalam perjalanan dan perjuangan mereka sebagai pasangan suami isteri,” katanya.

Sebelum ini, Fara dalam temu bual bersama menurut laporan mStar mengakui telah meminta cerai daripada Shuk kerana sudah penat melayan kerenah suaminya.

Dia mengatakan bahawa dia hilang sabar dengan perangai Shuk yang sering bercerita mengenai keburukannya kepada kenalan rapat sehingga mencemarkan nama baiknya.

Pada Isnin, Fara melalui Thread menulis luahan hatinya mengenai rumah tangganya. Katanya, dia sudah cuba mencari jalan penyelesaian tetapi suaminya tidak pernah berubah meskipun sudah banyak berbincang.

Untuk rekod, Fara dan Shuk mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu dan ini merupakan perkahwinan kedua bagi pelawak itu.

Shuk sebelum ini pernah berkahwin dengan Rossa Sera dan bercerai pada 22 Mac 2023.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun.

BACA: ‘Aku balik kampung sorang, patah balik sebab ada barang tertinggal, masuk bilik aku nampak langsir kembung, aku selak ada perempuan lain!’