Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menghadapi dua pertuduhan menghasut
Berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, yang sepatutnya bermula hari ini, telah ditangguhkan ke September depan.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pembelaan bagi pihak Sanusi, 50, mengemukakan representasi terbaharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu lalu.
Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkata pihak pembelaan percaya AGC memerlukan masa untuk mempertimbangkan representasi tersebut serta meneliti perkembangan baharu dalam kes berkenaan.
“Jika mahkamah bersetuju, saya mencadangkan penangguhan selama dua bulan, untuk membolehkan pihak-pihak mendapatkan maklumat penuh dan mempertimbangkan representasi ini.
“Saya mohon agar tarikh untuk pengurusan kes ditetapkan dalam masa dua bulan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, mengesahkan menerima representasi berkenaan.
“Pendakwaan mengesahkan menerima representasi dalam kes ini, namun kami memerlukan sedikit masa untuk meneliti permohonan tertuduh,” katanya.
Pada bulan Mei lalu, AGC mengesahkan menolak representasi yang dikemukakan Muhammad Sanusi untuk membatalkan dua tuduhan menghasut yang dihadapinya.
Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang terhadap dua pertuduhan tersebut dan kes itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lalu untuk dibicarakan.
Muhammad Sanusi juga telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan dua pertuduhan tersebut, namun representasi itu telah ditolak oleh AGC.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 23, 29, dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos ini untuk perbicaraan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
BACA:“Sepanjang aku membesar, ibu pakai baju kurung yang sama setiap hari ketika pergi kerja, rupanya..”