Seorang pelajar Malaysia di Australia dituduh menggunakan secara salah wang sebanyak A$4.6 juta (RM13.8 juta) yang dimasukkan oleh bank ke dalam akaunnya.
Menurut laporan The Daily Telegraph, Christine Jiaxin Lee didakwa memindahkan A$5,000 (RM15,000) sehari ke dalam beberapa akaun bank yang tersembunyi di seluruh negara Australia.
Beliau dipercayai telah mengalihkan A$33,000 (RM99,000) seminggu ke akaun peribadinya di bank-bank yang bukan anggota Westpac,
bank yang membuat kesilapan dengan memasukkan wang sejumlah RM13.8 juta ke dalam akaunnya.
Meskipun jumlah yang dipindahkan ke akaun tersembunyi diperkirakan sebanyak A$1.3 juta (RM3.9 juta), pindahan-pindahan ini yang kecil tidak menimbulkan kecurigaan terhadap bank itu.
Sebahagian besar daripada baki yang hilang, iaitu A$3.3 juta (RM9.9 juta), disyaki telah dipindahkan ke luar negara atau telah dibelanjakan.
Christine, seorang pelajar kejuruteraan kimia berusia 21 tahun, diberikan overdraf tanpa had apabila membuka akaun dengan Westpac Bank pada Ogos 2012. Dia kemudiannya menghabiskan A$85,000 (RM255,000) seminggu selama lima tahun, menetap di penthouse mewah di Sydney, Australia, dan membeli pakaian serta beg tangan berjenama mewah.
Beliau ditangkap di lapangan terbang Sydney minggu lalu selepas mendapat pasport kecemasan untuk kembali ke Malaysia.
Christine didakwa atas tuduhan tidak amanah dalam mendapatkan manfaat kewangan dengan penipuan dan sengaja berurusan dengan hasil jenayah.
Walau bagaimanapun, majistret Lisa Stapleton mengutarakan keraguan terhadap tuduhan itu, bersetuju dengan peguam beliau bahawa sukar untuk polis membuktikan bahawa perbelanjaan itu adalah tidak sah.
“Dia tidak mengambil wang itu. Mereka memberikannya padanya,” kata Stapleton.