Setiap tahun, banyak kisah menarik dan menginsafkan berlaku di Tanah Haram yang dikongsi oleh para jemaah haji.
Kali ini, Dr Linda Raharjo mencuri perhatian warga TikTok apabila dia menceritakan pengalamannya yang memilukan ‘ditegur’ di hadapan Kaabah.
Menurut ibu kepada empat anak itu, insiden itu berlaku semasa mereka sedang mengerjakan tawaf bersama suaminya.
“Saya sedang tawaf mengelilingi Kaabah. Ketika itu, terjadi salah faham kecil antara saya dan suami yang membuat saya agak kesal dan merungut dalam hati.
Saya berkata yang saya boleh tawaf sendiri tanpa suami. Tanpa disedari, tangan saya terlepas dari genggaman suami.”
“Suami saya tiba-tiba hilang dari pandangan, terseret arus jemaah yang sibuk mengelilingi Kaabah. Saya cuba menjaga ketenangan diri dan meneruskan tawaf meskipun hati penuh kegelisahan,” ujarnya mengenang detik itu.
Linda kemudian mula merasai sakit yang teramat pada bahagian perutnya, yang dirasakannya seperti sakit bersalin. “Saya merasa kesakitan yang amat hebat di perut. Peluh membasahi tubuh saya kerana menahan sakit itu. Namun, saya tetap bersungguh-sungguh melaksanakan tawaf meskipun dalam keadaan yang sukar.”
“Sambil menangis, saya merintih kepada Allah memohon ampun atas kesilapan yang berlaku semasa tawaf,” katanya sambil mengenang pengalaman haji tahun 2015.
Selepas berdoa di hadapan Kaabah, sakit perutnya perlahan-lahan berkurang, dan dia dapat menunaikan solat sunat sebelum suaminya muncul tiba-tiba dari belakang. “Beberapa minit selepas saya memohon ampun kepada Allah, sakit perut saya mula beransur hilang. Saya melaksanakan solat dua rakaat di Makam Ibrahim.”
“Setelah menamatkan solat, suami saya tiba-tiba muncul dari arah belakang dan menepuk bahu saya. Saya bersyukur dipertemukan semula dengan suami saya. Saya segera memeluknya di hadapan Kaabah dan meminta maaf,” ceritanya.
Wanita itu turut memberi pesanan agar tidak bersikap sombong terhadap suami, kerana suami adalah imam bagi setiap isteri dan keluarga.
“Kadang-kadang ego kita sebagai isteri membuatkan kita melihat segala tindakan suami sebagai kesalahan, sedangkan di sisi Allah, kita wajib patuh kepada suami selagi suami tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama.”
“Janganlah sombong kerana keupayaan diri. Suami adalah imam kita, imam keluarga, dan kedudukannya amat mulia di sisi Allah,” tambahnya.
Perkongsian emosional Dr Linda Raharjo ini meraih perhatian luas dengan 2.8 juta tontonan di TikTok, dan mendapat respons positif dari netizen di Malaysia dan Indonesia.
BACA: Ini ‘bala’ yang bakal menimpa kepada taukey pam minyak jika jual RON95 kepada warga asing