‘Dia dongak kepala dan mengilai sambil cakap nak cerai’ Peguam syarie kongsi kisah wanita pelik

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Sebagai seorang peguam syariah, Ustaz Anas Jamaluddin pernah mengendalikan pelbagai ragam kisah rumah tangga kliennya.

Namun, salah satu kisah yang paling mengesankan baginya adalah ketika dia berurusan dengan seorang wanita yang mempunyai masalah tersendiri.

Menurut Anas, ketika itu dia bertugas di Jabatan Bantuan Guaman ketika wanita tersebut datang mencari nasihat guaman berkenaan masalah rumah tangganya.

“Dari jauh saya lihat penampilannya agak unik. Dia bersolek tebal dan berpakaian berwarna-warni.

Awalnya saya tidak mempersoalkan apa-apa. Mungkin itu gaya peribadinya,” kata Anas, mengenangkan kembali kisah tersebut.

'Dia dongak kepala dan mengilai sambil cakap nak cerai' Peguam syarie kongsi kisah wanita pelik

Namun, sebelum masuk ke bilik nasihat, Anas diberi ‘hint’ oleh pegawai kaunter untuk berhati-hati dengan wanita tersebut.

“Saya tidak banyak ilmu, tapi ada sedikit pengalaman. Saya mengucap Bismillah sebanyak 21 kali dan tawakal kepada Allah. Saya masuk ke bilik nasihat dengan tenang,” ujarnya.

Apabila wanita itu akhirnya masuk ke dalam bilik, tingkah lakunya semakin menimbulkan kehairanan pada Anas.

“Dia duduk di hadapan saya dengan kepala tertunduk. Gelagatnya agak aneh… bahkan menakutkan,” ceritanya.

Setelah berbincang beberapa ketika, wanita tersebut tiba-tiba mengangkat kepala dan matanya memandang ke siling seolah-olah mencari sesuatu. Kepalanya kemudian ditarik ke bawah semula.

“Ustaz, saya nak minta cerai… hihihiiii,” ucapnya sambil menunjuk ke arah borang di tangan Anas, diikuti dengan tawaan yang tidak terkawal.

Anas mengakui, saat itu dia merasa bulu roma tegak.

“Cuba saya kawal perasaan dan alihkan perhatian. Saya terus memancing beliau untuk menceritakan lebih lanjut,” katanya.

Daripada cerita wanita itu, Anas mendapati bahawa dia mengalami masalah psikologi setelah melahirkan anak keempatnya.

“Saya mengesyorkan suaminya membawa isterinya ke pakar psikiatri di hospital kerana simptom yang ditunjukkan menunjukkan tanda-tanda psikosis postpartum,” jelas Anas.

Anas menasihati pembaca untuk menghargai pasangan mereka, terutamanya selepas bersalin.

“Ingatlah, wanita itu menggadaikan nyawanya untuk melahirkan anak kita. Kita harus hargai dan sayangi mereka sebaiknya,” pesannya.

Kisah wanita ini menjadi pengajaran berharga bagi Anas dan menyedarkan dia akan pelbagai cabaran dalam kehidupan rumah tangga yang mungkin dihadapi oleh sesiapa sahaja.

BACA: “Tiap kali balik jumpa isteri, mesti mak mertua masuk campur, aku nak bawa anak isteri jumpa mak pun tak boleh, sekarang ini siapa suami?”