Walaupun tidak akan didakwa atas tuduhan merogol Mondy, Ebit Lew mengekalkan pendiriannya untuk meneruskan
saman fitnah terhadap penyanyi rap, Caprice, dan wanita Indonesia yang dikenali sebagai Mondy Tattoo.
Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau lebih dikenali sebagai Ebit, menegaskan pendiriannya itu melalui catatan di laman Instagramnya
walaupun keputusan pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes terhadap tuduhan merogol Mondy telah dibuat.
“Saman kepada kedua-dua individu tersebut masih berjalan,” ujarnya dalam catatan tersebut, sambil mengucapkan rasa syukur atas keputusan yang dikeluarkan
oleh Jabatan Peguam Negara mengenai tuduhan yang dilayangkan oleh Mondy terhadapnya.
Peguam bela Ebit, Datuk Akberdin Abdul Kader, sebelum ini menyatakan bahawa polis telah menyelesaikan siasatan, tetapi pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes tersebut.
Di ruangan komen pada perkongsian Ebit, pengikutnya turut menunjukkan sokongan terhadap tindakan pendakwah itu untuk meneruskan saman terhadap Caprice dan Mondy.
“Aku pun pelik, ustaz ni sedaya upaya nak bantu orang tapi ada segelintir bersusah-payah memfitnah dan nak menjatuhkan dia. Alhamdulillah, Ebit saman jangan selesai luar… saman banyak pun tak apa. Tolong jangan bagi muka. Semoga kebenaran akan terbongkar dengan izin daripada Allah SWT,” kata salah seorang warga maya.
Pada 22 September tahun lalu, Ebit menerusi peguamnya memfailkan saman terhadap Caprice dan Mondy selepas Mondy membuat pendedahan tentang percubaan gangguan seksual terhadapnya oleh individu yang didakwanya berperwatakan alim. Pendedahan tersebut dibuat semasa sesi podcast bersama Caprice.