Mohd Helmi Shahuddin, seorang peniaga nasi kukus, kini telah melepaskan diri daripada beban pendapatan tidak menentu.
Kini, beliau mampu menjana sehingga RM14,000 sebulan melalui perniagaannya.
Menurut laporan, beliau membuat keputusan yang bijak dengan menyertai program perniagaan mesin layan diri di bawah Inisiatif
Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI melalui Kementerian Ekonomi pada Mac tahun lepas.
Beliau menerangkan bahawa sebelum ini, sebagai peniaga tepi jalan di Puncak Alam,
beliau menghadapi pendapatan yang tidak menentu akibat pelbagai cabaran seperti faktor cuaca, masalah makanan tidak habis dijual,
dan keperluan untuk mengambil cuti bagi membawa anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) untuk berjumpa doktor.
Dahulu, hasil usaha kerasnya hanya mampu membawa pulang jualan bawah RM8,000 sebulan. Sekarang, beliau bersama isterinya mengusahakan perniagaan makanan dari mesin layan diri di Kolej Angsana 2, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) di kampus Puncak Alam.
Pelbagai jenis makanan dijual di dalam mesin vending termasuk nasi lemak ayam goreng, nasi lemak pandan, roti kebab daging, roti sosej gulung, set bebola daging, popcorn ayam, dan nasi ayam pedas, yang semuanya dimasak sendiri oleh mereka berdua.
Makanan-makanan ini dijual pada harga RM2 hingga RM5. Menu juga ditukar setiap enam jam dalam sehari bagi memastikan kualiti makanan dikekalkan.
“Ini menunjukkan bahawa program IPR bukan sahaja memberi faedah kepada usahawan, tetapi juga memberi pilihan kepada orang ramai
untuk membeli makanan siap masak pada harga yang berpatutan dan mampu milik,” ujar Mohd Helmi sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
Untuk pengetahuan umum, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, telah melancarkan program mesin layan diri IPR. Menerusi inisiatif INSAN,
penerima akan diberikan mesin layan diri di lokasi yang ditetapkan, dan kos sewaan bulanan yang dianggarkan antara RM600 hingga RM800 akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan selama dua tahun.