Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) telah mengumumkan bahawa persimpangan Ijok hingga persimpangan Puncak Alam
akan ditutup sementara bagi kedua-dua arah selama empat hari bermula pada Isnin akan datang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LATAR hari ini, penutupan itu diperlukan bagi membolehkan kerja-kerja pemasangan
rusuk jambatan bagi menyiapkan persimpangan Eco Business Park V oleh pihak Eco World Development Group Berhad di Kilometer (km) 0.0 hingga KM 12.3 lebuh raya tersebut.
Penutupan tersebut akan berlaku pada 29 dan 30 April (Isnin dan Selasa) serta 2 dan 3 Mei (Khamis dan Jumaat) dari jam 12.01 pagi hingga 5 pagi.
Semasa tempoh penutupan, trafik dari arah Kuala Lumpur/Rawang/LATAR akan dialihkan ke Jalan Kuala Selangor melalui Persimpangan
Puncak Alam untuk menuju ke Ijok/Kuala Selangor/Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Manakala, trafik dari arah Puncak Alam menuju ke Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) akan dialihkan ke Jalan Kuala Selangor.
“Pengguna dari arah Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) akan diarahkan ke Jalan Kuala Selangor untuk perjalanan ke Kuala Lumpur/Rawang dan papan tanda arah sementara akan dipasang di kawasan berkenaan untuk memberi panduan kepada pengguna,” menurut kenyataan tersebut.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi talian utama LATAR di 03-6145 1515 atau wakil pemaju projek Azam Faliq Abdullah di 012-327 7398, wakil kontraktor utama Juang Setia Sdn Bhd Aris Rosly di 012-334 0747, dan Pengurus Trafik Road Ark Sdn Bhd Mohamad Sabri Musa di talian 013-219 2448.