Rambut adalah mahkota yang penting bagi lelaki dan wanita. Bahagian tubuh ini sering dikaitkan dengan keyakinan diri, terutamanya bagi lelaki yang rambutnya selalu terdedah.
Jika rambut tersalah gunting atau diuruskan, lelaki boleh merasa murung dan kurang bertenaga sepanjang hari.
Oleh itu, tidak menghairankan jika salah satu perkara yang paling ditakuti oleh lelaki adalah masalah rambut gugur sehingga botak.
Tetapi kenapa masalah botak ini lebih kerap berlaku kepada lelaki daripada wanita? Mengapa botak jarang berlaku kepada wanita walaupun mereka juga memiliki rambut?
Keguguran rambut bercorak, atau Androgenetic Alopecia, adalah masalah yang kekal dan menjejaskan jutaan lelaki berbanding wanita. Ini bermakna bahawa lelaki yang mengalami masalah ini akan kehilangan rambut secara kekal, manakala kawasan kulit kepala yang terjejas tidak mampu menumbuhkan rambut yang baru.
Masalah ini dipercayai adalah masalah keturunan. Jika ibu atau bapa seseorang individu pernah mengalami masalah botak, individu tersebut mungkin juga akan menghadapi masalah yang sama.
Walaupun tidak ada rawatan yang dapat menghentikan masalah botak, seseorang boleh menjalani pembedahan pemindahan rambut. Statistik menunjukkan bahawa sekitar 66 peratus lelaki akan mengalami masalah rambut gugur, manakala angka tersebut jauh lebih rendah dalam kalangan wanita.
Faktor utama keguguran rambut pada lelaki adalah disebabkan oleh faktor genetik dan penghasilan hormon dalam badan yang disebut dihydrotestosterone (DHT). Lelaki cenderung untuk mempunyai paras hormon testosterone dan DHT yang lebih tinggi, yang menjelaskan mengapa masalah botak lebih kerap berlaku pada lelaki berbanding wanita.
Dengan kata lain, jika paras DHT dalam badan seseorang lelaki tinggi, dia cenderung untuk mengalami masalah rambut gugur.