Setiap kali bulan Ramadan tiba, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mencuba pelbagai hidangan semasa berbuka.
Bazar Ramadan menjadi tarikan utama kerana terdapat pelbagai juadah seperti kuih-muih, lauk-pauk, dan minuman.
Antara makanan popular pada Ramadan adalah roti john, roti arab, dan banyak lagi.
Namun, jika anda masuk ke mana-mana bazar, anda pasti menjumpai salah satu menu ikonik ini, iaitu martabak atau lebih dikenali sebagai ‘murtabak’.
Sebelum mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah makanan ini, mari kita pelajari ejaannya. Tahukah anda, ejaan sebenar untuk menu ini adalah ‘martabak’ dan bukannya ‘murtabak’ seperti yang biasa disebut atau dieja.
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), martabak merujuk kepada sejenis makanan seperti roti canai tetapi berlapis, dibubuhi dengan daging cincang, telur, rempah, bawang, dan sebagainya.
Perkataan ‘martabak’ berasal daripada Bahasa Arab iaitu ‘mutabbaq’ yang membawa maksud hidangan yang dimasak dalam talam rata.
Menurut Iluminasi, makanan ini dipercayai dihasilkan oleh masyarakat Yaman pada satu ketika dahulu. Difahamkan, makanan ini adalah jenis menu yang sentiasa berubah mengikut selera masyarakat.
Antara menu mutabbaq yang masih wujud hingga hari ini adalah Mutabbaq Samak, sejenis hidangan yang menggunakan ikan sebagai bahan asas. Namun, jika dibandingkan dengan martabak yang kita kenali sekarang, ia menggunakan roti sebagai bahan utama.
Martabak di Malaysia dikenali sebagai mutabar. Mutabar sebenarnya merupakan gabungan perkataan lain, iaitu ‘muta’ (telur) dan ‘bar’ (roti) yang membawa maksud roti dan telur.
Versi martabak ini dipercayai berasal dari Selatan India, dan dibawa masuk oleh pedagang India Muslim ke tanah besar India. Migrasi pedagang ini menyebabkan martabak tersebar hingga ke seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
Disebabkan kepelbagaian variasi hidangan ini, sukar untuk mengenal pasti jenis makanan itu sebenarnya. Martabak di Malaysia dan Singapura sinonim dengan gabungan telur, daging, dan rempah yang digoreng hingga keemasan.
Manakala di Indonesia, terdapat pelbagai jenis martabak termasuk martabak manis atau martabak bangka. Di Malaysia, martabak bangka lebih dikenali sebagai apam balik.
Di Brunei, roti canai kosong dipanggil martabak kosong.
Bukan sahaja dari segi jenis, malah cara penyajian dan hidangan ini juga berbeza. Sesetengah negara menyajikan bersama kuah kari (Malaysia), kuah kicap (Indonesia), atau bersama hirisan cili dan lemon (Bangsa Arab).