Pembeli kecewa donut yang dibeli rupanya roti burger dicelup coklat

Oleh AHMAD BAIHAQI LUTFI

Siapa sangka di sebalik pilihan perisanya yang berwarna-warni dan menggiurkan, tersembunyi kejutan yang tidak dijangka.

Itulah yang berlaku dalam kes ‘donut palsu’ di Pasar Malam Bachok, Kelantan.

Laman Facebook Menarik Kelate Kito telah memuat naik gambar sebiji ‘donut’ yang dikongsi oleh seorang pengguna bernama Ira Suya.

Pembeli kecewa donut yang dibeli rupanya roti burger dicelup coklat

Ira telah membeli donut tersebut daripada seorang peniaga wanita muda dan terkejut apabila mendapati donut tersebut sebenarnya bukanlah donut yang sebenar.

“Roti burger, kamu potong/cucuk tengah dan jadikan donut. Suya kalau bab makanan mahal ke, tak sedap ke diamkan diri sahaja. Tapi ini dah kira menipu,” tulisnya.

Ira bukanlah satu-satunya ‘mangsa’ penjualan donut palsu tersebut. Berkongsi di Facebook, Fatimah Mulyati juga tertipu dengan donut tersebut kerana menurutnya, nampak cantik dan menggiurkan.

“Pergi ke fun fair di Pantai Irama Bachok malam tadi. Melihat donut warna-warni yang sangat menarik. Membeli sebiji perisa strawberry, tetapi anak saya gigit ternyata ROTI BURGER! RM3 sebiji.

“Patah balik ke gerai untuk mendapatkan pengesahan, peniaga memberitahu, ‘Eh kita jual roti celup coklat bukan donut’. Ha, oklah walaupun ia nampak seperti donut yang bertengah-tengah tembus. Rupanya tidak, peniaga mengesahkannya sebagai donut,” terang Fatimah.

Fatimah menyatakan kekecewaannya terhadap ketidakjujuran peniaga tersebut dan menasihati peniaga lain agar tidak menipu pembeli semasa berurusan jual beli.

Semoga insiden ini menjadi pengajaran kepada semua peniaga agar sentiasa jujur dalam perniagaan mereka. Sekiranya menjual roti celup coklat, labelkan dengan betul supaya tidak mengelirukan pembeli.

BACA: “Mula-mula tak kisah suami selalu bercerita semua apa yang berlaku di rumah dengan mak mertua tapi dengan isteri, dia bercakap apa yang perlu”