Ibu ‘pergi’ 10 hari selepas merasa duduk rumah baharu anak, bilik deko ala hotel

Oleh ABD RAZAK SALLEH

Setiap anak yang sudah dewasa dan bekerja pasti mempunyai impian untuk menyantuni dan membalas jasa ibu bapa.

Namun, tidak semua orang mampu atau mempunyai peluang untuk menjaga mereka disebabkan kekangan atau halangan tertentu.

Seperti mana kisah Hani Mynis atau Nisa, dia sangat teruja dan bersungguh-sungguh ingin menjaga ibunya setelah berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa.

Ibu ‘pergi’ 10 hari selepas merasa duduk rumah baharu anak, bilik deko ala hotel

“Tak sampai seminggu duduk rumah baharu, terus ajak adik beradik datang Johor hantar mak.

“Walaupun rumah belum 100 peratus siap, itu tak lengkap ini tak lengkap, bagitahu juga mak dah boleh datang tinggal dengan saya. Saya nak jaga mak.

Menjaga ibu bapa yang sudah lanjut usia merupakan impian setiap anak. -Gambar hiasan

“Sebelum mak datang, bukan mainlah hias bilik ni beli katil, tilam baharu memang khas untuk mak. Hias-hias ala bilik saya ni hotel tak payah check out,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Jelas Nisa, sebelum ini ibunya dijaga baik oleh adik-beradiknya yang lain tetapi wanita itu ada menyatakan hasrat untuk tinggal bersama dengannya.

Bagaimanapun, dia tidak dapat menunaikan hajat ibu kerana kediamannya terletak di tingkat empat dan tidak mempunyai kemudahan lif.

“Excited sangat nak mak duduk sekali. Saya pun dah lama bercita-cita nak jaga mak pula. Terima kasih kat adik-beradik dan ipar yang lain selama ni jaga mak.

“Pindah je rumah baharu, bilik pertama yang saya hias ialah bilik untuk emak. Mak memang suka hias-hias dan mengemas.

“Walaupun tak siap mengemas habis (frame belum sangkut) terus ambil gambar bagi pada mak nak tunjukkan betapa terujanya saya nak mak datang tinggal dengan saya,” katanya.

Nisa turut memaklumkan bahawa ibunya sangat meminati dekorasi rumah dan sanggup menyimpan wang walaupun kehidupan mereka sekeluarga dulu agak susah.

“Mak memang suka deko dan kemas-kemas. Ingat lagi masa kecil-kecil duduk rumah setinggan tak ada duit nak makan pun sanggup simpan wang beli langsir semeter RM1-RM2.

“Mak jahit tangan je nak hias rumah bagi cantik. Yang penting beraya dengan rumah yang cantik dan kemas,” katanya.

Menurut Nisa, dia bagaimanapun tidak menyangka hanya dapat merasa tinggal bersama ibu selama 10 hari sahaja di rumah baharunya sebelum insan kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir pada 15 September baru-baru ini.

Menerusi postingnya juga, dia meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat meluangkan masa lebih lama bersama ibu tercinta.

Kalaulah boleh diputar masa. Maaf mak ya. Rasa macam saya tak buat yang terbaik untuk mak.
HANI MYNIS

“Manalah tahu 10 hari je mak dapat merasa tidur katil dan tilam baru ni lepas tu mak ‘pindah’ ke ‘bilik’ baharu. Masih belum mampu buka pintu bilik ni tenung katil dan tilam mak. Macam mana nak buat,

“InsyaAllah, bilik ni saya akan tukarkan jadi bilik solat ya. Tak sanggup rasa nak tengok katil dan tilam ni lama-lama. Rasa macam tak puas manjakan mak.

“Nak suap mak lagi, nak mandikan mak lagi, nak ikatkan rambut mak lagi, nak urut-urut badan dan kaki mak, nak peluk gomol mak lagi, nak letak losyen kat badan mak,” dia meluahkan rasa hiba.

Walapun reda dengan pemergian ibu, Nisa masih menganggap dirinya belum cukup berbakti sepenuhnya terhadap ibu.

Hantaran dikongsi Nisa mengenai kematian ibu.

“Kalaulah boleh diputar masa. Maaf mak ya. Rasa macam saya tak buat yang terbaik untuk mak. Kesal, ralat… semua ada. Rindu.

“Maklah emak yang paling terbaik. Mak rehat ya. Mak dah penat kerja kuat besarkan kami adik beradik.

“Saya doakan bilik baru mak sentiasa terang wangi dan selesa untuk mak. Saya sayang sangat mak,” katanya lagi dalam hantaran sama.

Terdahulu, Nisa membuat hantaran mengenai kematian ibunya, Madzni Yacob, 63, bagaimanapun tidak menyatakan punca kematian.

BACA: “Suami dalam diam pergi rujuk semula dengan bekas isteri tanpa berbincang dengan aku, jual nama anak jadi alasan!”